Hukuman gantung sampai mati enam bekas penuntut UPNM tepat, setimpal - MCPF - Utusan Malaysia

Hukuman gantung sampai mati enam bekas penuntut UPNM tepat, setimpal – MCPF

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Hukuman gantung sampai mati yang dijatuhkan Mahkamah Rayuan terhadap enam bekas penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) adalah tepat dan setimpal atas kesalahan membunuh Pegawai Kadet Laut, Zulfarhan Osman Zulkarnain, tujuh tahun lalu.

Naib Pengerusi Kanan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Datuk Seri Ayub Yaakob berkata, pihaknya tidak bersetuju dengan bantahan dibuat Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) berhubung hukuman terbaharu yang dijatuhkan terhadap enam bekas penuntut berkenaan.

Beliau berkata, tindakan menyeksa hingga menyebabkan kematian seseorang itu jelas bertentangan dengan norma kehidupan manusia lebih-lebih lagi ia dilakukan golongan terpelajar.

“SUHAKAM perlu faham, biarpun kerajaan menghapuskan hukuman mati mandatori bagi kes bunuh dan pengedaran dadah, namun hakim mempunyai kuasa dan budi bicara untuk menjatuhkan hukuman gantung sampai mati dalam kes-kes tertentu.

“Malah, sebahagian negeri di Amerika Syarikat (AS) masih melaksanakan hukuman mati terhadap pesalah bagi kes membunuh,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya Ayubi, tindakan membunuh jiwa insan oleh pihak tidak berhati perut adalah sesuatu perbuatan diharamkan dalam Islam.

“Perbuatan membunuh seseorang secara tidak halal dalam Islam seumpama membunuh seluruh umatnya. Ini kerana Islam amat menjaga nyawa setiap umatnya. Setiap darah umat Islam haram untuk ditumpahkan lebih-lebih lagi saudara sesama Islam,” katanya.

Terdahulu, SUHAKAM dilapor membantah keputusan Mahkamah Rayuan ke atas enam bekas penuntut UPNM berhubung kesalahan membunuh Zulfarhan, tujuh tahun lalu.

SUHAKAM berkata, meskipun bersama keluarga mangsa dalam memahami kesedihan dan mengakui seriusnya jenayah tersebut, suruhanjaya tersebut berpandangan hukuman mati bukan penyelesaian adil atau berkesan.

Tindakan itu mengundang kemarahan sesetengah agensi serta warga maya sehingga Facebook milik agensi itu dibanjiri kecaman.

Warga maya meluahkan kecewa dan marah terhadap suruhanjaya itu sehinggakan ada yang mencadangkan supaya Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) menutup SUHAKAM. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN