Hentikan, bukan semua orang boleh hadap buli siber - Shuib - Utusan Malaysia

Hentikan, bukan semua orang boleh hadap buli siber – Shuib

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelawak dan usahawan, Shuib, bimbang sekiranya semakin ramai individu menghadapi kemurungan dan bertindak bunuh diri akibat menjadi mangsa buli siber.

Menurut Shuib atau Shahmira Muhammad, 39, tindakan buli siber berlaku kerana segelintir masyarakat menganggap perbuatan membuka aib tanpa usul periksa sebagai jenaka.

“Buli siber adalah perkara yang sangat serius. Jika dulu kita lihat banyak berlaku di luar negara, kini berlarutan di negara sendiri.

“Trend sekarang apabila ada sahaja cerita mengenai artis atau individu berpengaruh, netizen akan pergi Instagram artis tersebut dan komen ‘standby popcorn, like tanda hadir, sudah mula ke belum’, itu budaya yang teruk,” katanya.

Shuib berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai situasi membabitkan seorang pempengaruh yang bunuh diri akibat menjadi mangsa buli siber baru-baru ini.

Dalam pada itu, Artis Komedi Lelaki Popular, Anugerah Bintang Popular 2015 itu turut berkongsi perasaannya yang pernah menjadi mangsa buli siber tahun lalu.

“Saya juga salah satu mangsa. Ketika itu timbul isu perniagaan saya lambat bayar gaji pekerja. Sepanjang saya berniaga, itulah pertama kali saya lambat.

“Tapi netizen mula menghentam seolah-olah lebih tahu apa yang saya lalui dan duduk dalam kasut saya. Tidak adil untuk menilai orang lain tanpa dapatkan kesahihan. Tolonglah hentikan budaya buli yang kebanyakan dilakukan orang Melayu.

“Mungkin ada orang yang boleh hadap, kalau tak boleh hadap, boleh jadi teruk sehingga kes bunuh diri,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sidang media Dol’s Podcast di Tasty Chapati, semalam.

Bukan itu sahaja, Shuib mendedahkan arwah isterinya, penyanyi, Siti Sarah turut mengalami keresahan melampau akibat membaca komen jahat di media sosial.

“Dulu saya ingat lagi, arwah Sarah sampai alami keresahan dan tekanan disebabkan masalah buli. Kadang kala memang diri kita ada tersilap cakap dan kemudian sudah minta maaf, tetapi netizen angkuh susah memaafkan.

“Kalau terkena pada batang hidung sendiri atau adik beradik mereka pula macam mana? Tolong berhenti kerana itu bukan budaya masyarakat kita. Kalau nak teruskan budaya itu, kesianlah hidup awak,” katanya.

Bagaimanapun, pelawak itu menegaskan agar tindakan undang-undang perlu diambil kepada pelaku bagi menunjukkan berapa seriusnya impak buli siber kepada masyarakat.

“Pelaku selalunya hanya berani menulis kononnya paling pandai dan tahu semua perkara. Mungkin mereka teruja tidak dapat ‘likes’ dan tontonan yang banyak.

“Tapi bila jumpa berdepan, mereka hanya tunduk dan mohon maaf. Kemudian, keluarlah ayat merayu jangan ambil tindakan kerana keluarga sakit. Itulah apa yang saya lalui berdasarkan kes sebelum ini.

“Ini semua maruah orang, selagi mana komen itu tidak dipadam di media sosial, sampai mati ia akan ada disitu,” katanya.

Sebelum ini, seorang pempengaruh TikTok, Esha, ditemukan mati di rumahnya kira-kira jam 11 pagi, Jumaat lalu.

Esha dilaporkan meninggal dunia akibat menjadi mangsa buli siber dan ugutan pengguna media sosial.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya