Harith Iskander cerai talak satu

Harith Iskander ceraikan Dr. Jazemin talak satu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Bahtera perkahwinan 14 tahun yang dibina pelakon dan pelawak, Harith Iskander dan isterinya, Dr. Jazemin Lim akhirnya terlerai apabila mereka disahkan bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur, di sini.

Lafaz cerai itu didengar di hadapan Hakim Syarie, Siti Noraini Mohd. Ali sekitar pukul 12.05 tengahari tadi.

Harith dan Jazemin ketika ditemui selepas prosiding tersebut memaklumkan sepakat untuk bercerai demi kebaikan diri mereka dan anak-anak.

“Perkahwinan kami sudah sampai ke tahap ini, tetapi kami masih berkawan demi kebaikan anak-anak.

“Perkara ini berjalan lancar dan kami berdua telah bersetuju dalam semua aspek bagi perceraian ini.

“Tentunya saya sedih. Tapi kami bersetuju bahawa perceraian ini membolehkan kami teruskan kehidupan dan membawa kebaikan bukan untuk diri kami sahaja, malah untuk anak-anak,” kata Harith.

Pasangan itu tiba di pekarangan mahkamah sekitar pukul 11.52 pagi tadi menaiki kenderaan kenderaan pelbagai guna (mpv) secara berasingan.

Turut hadir adalah peguam, Datuk Akberdin Abdul Kader yang mewakili defendan dan plaintif bagi kes tersebut.

Jezamine pada 25 Jun lalu memfailkan permohonan cerai terhadap suaminya di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan, di sini.

Harith, menerusi podcast sebuah portal berita memaklumkan keretakan rumah tangga mereka adalah berpunca daripada kesilapan dirinya selain keputusan untuk bercerai adalah atas persetujuan bersama.

Sementara itu, Jazemin ketika mengulas mengenai perceraian itu memaklumkan dia dan Harith kekal berkawan baik serta akan memberi sepenuh komitmen untuk membesarkan anak-anak mereka.

“Tentu saya juga sedih dengan perceraian ini, tetapi saya anggap ia sebagai satu permulaan kepada kehidupan baru.

“Kami kekal bersahabat baik, menguruskan perniagaan bersama-sama dan akan sentiasa ada untuk diri masing-masing,” katanya.

Untuk rekod, Harith dan Jazemin mendirikan rumah tangga pada 12 Jun 2010. Bekas pasangan suami isteri itu dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Zander Xayne, Alessandra Jayne dan Zydane Zayne.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN