KPM luluskan permohonan kemasukan PISMP Kadazandusun

Harap KPM luluskan permohonan kemasukan PISMP Bahasa Kadazandusun

WILFRED MADIUS TANGAU
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Seramai 1,123 pelajar opsyen Bahasa Kadazandusun seluruh negara dilatih melalui Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Kent, Tuaran sejak tahun 2001.

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memaklumkan, daripada jumlah tersebut kerajaan memperuntukkan sebanyak RM28,973,400 bagi bayaran elaun pelajar dalam tempoh lima tahun pengajian.

“Pengambilan pelajar akan diadakan sekali setahun iaitu pada setiap bulan Jun.

“Kesemua pelajar yang dilatih adalah berdasarkan pada unjuran KPM,” ujar kementerian berkenaan dalam satu jawapan bertulis bagi menjawab Soalan Lisan Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau (UPKO – Tuaran) dalam Persidangan Parlimen baru-baru ini.

Dalam soalannya, Madius meminta Menteri Pendidikan menyatakan jumlah pelajar Bahasa Kadazandusun yang terlatih di seluruh negara.

Beliau juga meminta KPM memaklumkan nama-nama institusi yang menawarkan kursus pengajian Bahasa Kadazandusun di peringkat Sarjana Muda, jumlah peruntukan yang terlibat, dan bila pengambilan pelajar dibuat pada setiap tahun.

Dalam perkembangan yang berkaitan, Madius dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan bahawa beliau kurang bersetuju dengan jawapan bertulis yang diberikan KPM.

“Pihak KPM mungkin terlupa memberitahu bahawa mereka tidak ada membuat pengambilan opsyen Bahasa Kadazandusun pada tahun 2022 dan 2023.

“Namun kita berterima kasih kerana Menteri Pendidikan melawat IPG Kampus Kent pada April lalu dan telah mengumumkan bahawa pengambilan akan dibuka semula tahun ini.

“Syukurlah, saya difahamkan terdapat 51 calon yang memohon dan semuanya layak, namun kuota yang tersedia hanyalah untuk sekitar 26 pelajar sahaja.

“Dengan mengambil kira tidak ada pengambilan pelajar program Bahasa Kadazandusun selama dua tahun, saya memohon agar KPM dapat meluluskan permohonan semua 51 pelajar ini bagi  melanjutkan pengajian di IPG Kampus Kent,” jelas Presiden Kehormat Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) itu lagi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN