Mengajar di pedalaman bukan sahaja tentang menyampaikan ilmu dan pengalaman kepada anak murid tetapi juga tentang mendapatkan inspirasi daripada persekitaran bagi Ahmad Safarman.
Pengalaman ini sudah pastinya sering kali menjadi sumber ilham yang kaya bagi seorang guru untuk berkarya dalam berbagai-bagai bentuk seperti sajak, cerpen, buku ilmiah atau novel sekali pun.
Seorang guru Bahasa Melayu, merangkap ketua panitia dari Sekolah Kebangsaan Batu Melintang Jeli, Kelantan Ahmad Safarman Dollah, 45, menganggap mengajar di kawasan pedalaman yang sering kali di kelilingi bukit, gunung-ganang, sungai, dan pokok adalah satu pengalaman ‘emas’ yang sukar untuk dicari ganti.
“Selain mengajar di sekolah saya sering menghabiskan masa dengan berkawan dengan alam sekitar kerana kehidupan di pedalaman penuh dengan cerita-cerita menarik terutama dari masyarakat setempat.”
“Saya bersyukur kerana melalui pergaulan ini membuatkan saya sering kali mengumpul seribu satu kisah yang sememangnya penuh makna. Cerita-cerita ini saya akan jadikan inspirasi untuk menulis terutama novel,” katanya kepada Utusan Pelajar baru-baru ini.
Beliau memberitahu, pada mulanya dia ditempatkan mengajar di Hulu Perak. Sekolah pertama adalah Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Ayer Kala yang terletak di Lenggong Perak. Di situ dia mencurahkan bakti mengajar murid yang semuanya daripada masyarakat kaum cina.
“Selepas enam tahun saya ingin berubah angin dengan memohon masuk ke sekolah kebangsaan dan ditempatkan di Sekolah Kebangsaan Kenering, Gerik Perak,” katanya lagi yang pernah memenangi Anugerah Sastera Perdana Malaysia kategori cerpen pada 2022.
“Di situ saya mempunyai banyak idea untuk mengarang. Hasil karya saya seperti sajak dan cerpen mula mendapat tempat di akhbar dan majalah,” katanya sambil mengingati novel pertamanya
Nasi Lemak Ikan Pekasam yang mengisahkan tentang guru dan murid diterbitkan di daerah pedalaman ini.
Pendidik itu berkata, selepas itu muncul beberapa novel lagi yang menceritakan tentang kisah pedalaman antaranya Tikar Mengkuang Nenek, Empangan Kuala Kenering, Cikgu Musim Covid-19, Kasih Di Wajahmu Cikgu, Tengkujuh Di Hati Andartu dan Mengusung Rumah Lama.
“Benar saya sangat gemar melihat pemandangan alam yang menenangkan. Saya suka flora, fauna dan kehidupan sehari-hari di pedalaman.” katanya.
Selain karya berupa penulisan kreatif, dia juga turut menyukai karya seni visual dan sering kali mengambil foto dan video yang menggambarkan keindahan alam dan kehidupan di pedalaman.
“Karya seni ini bagi saya boleh menjadi karya yang berharga. Saya dapat meningkatkan kesedaran dan apresiasi terhadap kehidupan di daerah terpencil,” ujar pemilik laman muka buku, Facebook Ahmad Safar Arman.
“Bagi saya kehidupan di pedalaman ini membuatkan hubungan dengan masyarakat itu sendiri menjadi terlalu dekat. Banyak program pengembangan masyarakat dan rehabilitasi yang saya hadir.” ujarnya.
Pernah memenangi Anugerah Guru Inspirasi McDonalds guru ini berpendapat, mengajar di pedalaman itu sendiri ada dugaannya. Antaranya mengajar tentang ketahanan, kreativiti dan semangat.
“Bagi saya setiap cabaran yang dihadapi menjadi pelajaran berharga yang memperkaya kehidupan. Dengan tentangan inilah saya mendapat ilham untuk mencipta konflik dan pertentangan untuk dimuatkan dalam setiap karya agar menjadi lebih menarik dan benar-benar hidup dan dekat dengan masyarakat pembaca khususnya pedalaman,” ujar pemilik Tiktok Cikgu Safar ini lagi. – UTUSAN
Nota : Guru yang ingin berkongsi pengalaman menarik mengajar boleh emelkan ke [email protected]