KUALA LUMPUR: Selebriti dan usahawan terkemuka tanah air,Noor Neelofa memilih untuk enggan mengulas lanjut mengenai gambar yang dimuat naik di laman Instagram salah satu produk yang diusahakan, Isterix yang didakwa mengandungi grafik berunsur lucah.
Neelofa menegaskan, Instagram nilofagroup sebelum ini sudah pun memuat naik kenyataan pasukan ‘Isterix’ yang memohon maaf susulan beberapa grafik tertentu dihasilkan yang mengandungi unsur lucah dalam mempromosikan produknya.
“Saya rasa komen dan penjelasan lanjut tidak lagi diperlukan sekarang ini lagi sebab takut jadi panjang cerita. Dari pihak jenama tersebut sudah membuat permohonan maaf dan kita sudah akui apa yang perlu.
“Saya rasa itu sudah ada ‘fullstop’, jadi kita teruskan pada episod yang seterusnya dan saya rasa lebih baik kita tidak bercakap soal itu,” katanya.
Neelofa berkata demikian ketika ditemui di majlis pembukaan kedai Nunha yang pertama di pusat beli belah Mytown, di sini, hari ini.
Selain itu, Neelofa tidak menolak perkara itu menjadi pengajaran buatnya, namun tetap tidak mahu memanjangkan isu tersebut.
“Ya pengajaran tapi tiada ulasan lain,” katanya.
Terdahulu, syarikat pembangunan aplikasi gaya hidup Muslim, TheNoor, turut menafikan pembabitan pengasasnya Neelofa dalam penghasilan atau pengedaran gambar iklan berunsur lucah di laman media sosial Instagram, baru-baru ini.
Menurut pengasas bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif TheNoor, Mohd Izzairi Yamin, kandungan yang dimaksudkan itu hanya berkaitan dengan produk lain dan tidak mewakili strategi pemasaran atau piawaian etika TheNoor.
Akaun Instagram nilofagroup juga ada memuat naik kenyataan pasukan ‘Isterix’ susulan kontroversi tersebut.
“Kami menerima segala teguran dan akur dengan kesilapan ini dan akan lebih menjaga sensitiviti untuk menghasilkan kandungan yang lebih mesra masyarakat pada masa akan datang,” kata kenyataan itu.
Permohonan maaf itu dibuat selepas akaun Instagram rasmi Nilofa Group, memaparkan beberapa foto objek yang seakan-akan menyerupai alat sulit wanita bertujuan mempromosikan produk mengeratkan hubungan suami isteri.
Perkongsian tersebut mengundang kecaman netizen yang menyifatkan foto dikongsikan mempunyai unsur ‘soft porn’ sekali gus tidak menjaga sensitiviti masyarakat
Bukan itu sahaja, tindakan tersebut dikatakan kurang sesuai dengan penampilan Neelofa yang berhijab dan berpurdah.