Pelajar harus memahami subjek sains jika mahu meminatinya dengan lebih mendalam kata Pengarah Pusat Sains Negara (PSN), Mohammad Fuad Rahman
Beliau berkata, sejak dari dahulu pelajar menganggap bahawa subjek sains seperti kimia, biologi dan fizik sukar untuk dipelajari dan payah mendapatkan markah yang baik dalam peperiksaan.
Katanya, mereka juga beranggapan bahawa sukar untuk mendapat pekerjaan terutamanya ketika ini di mana golongan muda terdedah dengan sumber pendapatan lain seperti menjadi pemandu e-hailing dan penghantar makanan.
“Untuk menarik minat pelajar, Ibu bapa harus memainkan peranan dalam memastikan anak-anak mereka meminati subjek sains. Mereka merupakan orang yang akan menjadi rujukan kepada pelajar.
Menurut Mohammad Fuad, PSN juga telah mengambil beberapa langkah dalam memastikan pelajar sekolah meminati subjek itu dengan bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan Malaysia dengan berkongsi kaedah pengajaran dan pembelajaran (PDP) dengan guru.
“Modul yang disediakan oleh PSN akan menarik minat pelajar dengan pembelajaran tidak formal di dalam kelas dan di sini, kami juga melatih guru melalui program inovasi pendidik untuk membantu mereka di dalam kelas.
“Selain itu, dalam usaha menarik minat pelajar meminati sains, PSN turut menyediakan pembelajaran secara atas talian seperti di YouTube dan mengadakan beberapa pertandingan di media sosial juga,” katanya kepada Utusan Pelajar..
Dalam pada itu, pekerja swasta, Nurul Izzati Mohd Nazir, 33, berkata, ibu bapa perlu memainkan peranan dalam memupuk mereka untuk meminati sains.
“Saya ini bukan hanya berkenaan peluang pekerjaan tetapi merupakan sesuatu yang mampu untuk mencabar minta kerana sains sentiasa di sekeliling kita,” katanya.
Muhd Saifullah, 29, pula berkata, subjek sains harus difahami dengan lebih mendalam untuk menarik minat pelajar kerana kaedah yang digunakan sangan menarik dan menghiburkan.
“Saya mengajar anak dari kecil berkenaan sains kerana dapat membuka minda dan menarik minat mereka terhadap sains,” ujarnya.
Dalam pada itu seramai 2,000 orang kurang upaya (OKU) telah menyertai Hari Istimewa Sains (SSD) anjuran anjuran PSN bersama Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) yang turut dihadiri isteri Timbalan
Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah wan Ismail.
Pada tahun ini tema Dimensi Dunia Istimewa telah menjadi pilihan yang membawakan konsep bermain sambil belajar melalui lima deria utama iaitu penglihatan, sentuhan, bau, rasa dan pendengaran.
Timbalan Menteri MOSTI, Datuk Mohammad Yusof Apdal berkata, penganjuran program sebegini untuk memberi mereka galakan dan pendedahan kepada golongan OKU untuk melibatkan diri dalam aktiviti pembudayaan Sains, Teknologi dan Inovasi (STI).
Beliau berkata, agenda utama MOSTI dalam menganjurkan SSD adalah untuk memastikan sains menjadi satu bidang pilihan kepada golongan OKU di masa hadapan.
“SSD pada tahun ini telah menerima sambutan yang lebih menggalakkan berbanding tahun lepas yang hanya mencatatkan 1500 penyertaan daripada sekolah dan persatuan OKU seluruh negara.
“Hal ini mungkin kerana kesedaran masyarakat telah meningkat melalui program yang telah kami anjurkan yang menampilkan kepada masyarkat berkenaan sains,” katanya.
Katanya, SSD telah menyediakan pelbagai aktiviti menarik antaranya demonstrasi sains, persembahan anak-anak OKU, bengkel permainan sensori, aktiviti kreatif hands-on serta pameran dari agensi dan organisasi berkaitan OKU.
Aktiviti sepanjang SSD 2024 melibatkan kolaborasi PSN bersama beberapa jabatan dan agensi kerajaan antaranya Institut Pendidikan Guru Kampus Ilmu Khas (IPGKIK) Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Bahagian
Pendidikan Khas (BP Khas) KPM, PERMATA Kurnia, Bahagian PERMATA, KPM dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM). –UTUSAN