“EMPAT tahun kerja, saya tidak pernah sekali pun ambil cuti. Cuba fikir, berapa ratus hari saya kerja? Badan saya terlampau penat.”
Demikian luahan penyampai radio, Mohamad Hafizie Roslan atau Fizie yang baru-baru ini bertemu pihak media. Kalau dulu, sudah menjadi kebiasaan untuk dia bekerja sehingga 13 jam sehari di dalam studio. Baginya, setiap masa yang ada eloklah diperuntukkan mencari wang.
Namun ketika umur semakin bertambah, anak kelahiran Taiping, Perak itu harus akur bahawa tubuhnya mula menunjukkan reaksi berbeza. Pada 2021, Fizie disahkan menghidapi masalah keresahan sosial yang membuatkannya sukar bergaul dan sesak nafas sekiranya berada di tempat orang ramai.
“Kalau dulu, duduk lama-lama dalam studio tiada masalah. Saya tidak pernah ambil cuti sampai bos sendiri minta saya untuk cuti. Sampailah suatu hari saya sedar tubuh saya menunjukkan sisi berbeza.
“Kehilangan arwah Siti Sarah antara yang memberi kesan kepada saya kerana kami rapat. Saya terfikir-fikir sehingga banyak termenung. Dapat tawaran kerja, saya tolak kerana hanya mahu duduk di rumah.
“Selepas berlarutan selama tiga minggu, saya berjumpa rakan yang juga merupakan seorang doktor. Dia mengesahkan saya menghidapi keresahan sosial membuatkan saya sukar bernafas di tempat awam dan berasa sesak,” katanya.
Dedah calon Penyampai Radio Popular, Anugerah Bintang Popular ke-35 itu lagi, masalah yang dihadapinya itu membuatkan dia pernah mengambil keputusan untuk bersara daripada bidang radio buat selamanya dan memberi fokus bekerja di belakang tabir.
“Sebenarnya ketika mengumumkan pengunduran diri daripada radio Hot FM pada 2021, saya memang betul-betul mahu tinggalkan bidang ini. Allah sudah beri saya rasa macam-macam perkara sejak usia muda.
“Tapi siapa sangka, selepas saya umumkan berhenti, saya dapat banyak panggilan dan tawaran daripada banyak stesen radio. Akhirnya saya pergi ke Gegar.
“Peralihan ini bagus dan tekanan juga penting untuk membuatkan kita tidak berada di takuk yang sama,” jelasnya.
Selepas menghadiri sesi terapi, Fizie mengakui keadaan kesihatan mentalnya menjadi lebih baik dan memohon maaf sekiranya dalam fasa emosi tidak stabil, dia ada menyinggung atau menimbulkan salah faham kepada orang terdekat.
“Ketika dalam tempoh diagnosis, saya selalu pulang ke rumah dan tidak berjumpa sesiapa lepas acara. Ramai yang salah faham dan anggap saya sombong.
“Sebenarnya saya bukan sombong, saya cuma hadapi penyakit yang membuatkan saya sesak nafas berada di tempat orang ramai,” dedahnya.
Dalam perkembangan lain, Fizie bakal bergandingan dengan sahabatnya, Shuib dan Shuk Sahar untuk mengendalikan sebuah siri podcast terbaharu bertajuk Dol’s Podcast.
Audiosiar yang bakal menemui pendengar dua kali seminggu ini akan mengupas cerita inspirasi yang boleh menjadi pedoman masyarakat.
“Shuib dan Shuk ajak saya berkolaborasi, katanya sudah lama kita tidak bekerjasama. Lagipula ini kawan-kawan, bekerja dengan mereka tiada tekanan sebab sudah terbiasa.
“Jadi, saya terima pelawaan itu dan terjadilah Dol’s Podcast yang bakal menemui pendengar bermula 17 Julai ini,” katanya.