PUTRAJAYA: Empat negeri merekodkan jumlah panggilan kes kebakaran terbuka tertinggi minggu lalu susulan cuaca panas kering akibat fasa Monsun Barat Daya (MBD).
Negeri berkenaan termasuk Perak, Selangor, Johor dan Sarawak yang merekodkan lebih 100 panggilan sehari.
Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM), Datuk Nor Hisham Mohammad berkata, jumlah panggilan kes kebakaran terbuka adalah melebihi 100 kes pada 25 dan 26 Julai lalu dan ia mencecah kepada 249 panggilan pada Sabtu dan 244 pada Ahad.
Beliau berkata, purata panggilan kes kebakaran terbuka diterima JBPM adalah 50 hingga 60 panggilan, namun berlaku lonjakan mendadak kerana negara kini dalam fasa MBD.
“Kerisauan saya paling besar adalah kebakaran terbuka biasanya libatkan kawasan luas dan ia libatkan masa lama ambil padamkan kebakaran,” katanya ketika ditemui pada majlis perhimpunan bulanan JBPM di sini, hari ini.
Katanya, Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) menjangkakan taburan hujan rendah berlarutan hingga fasa peralihan monsun bermula yang akan menyebabkan cuaca lebih panas dan kering hingga pertengahan September ini susulan MBD.
Nor Hisham berkata, bagi tempoh 17 Mei hingga Sabtu lalu, sebanyak 2,491 kes kebakaran terbuka dilaporkan melibatkan kebakaran kebun, belukar dan sampah.
Katanya, Perak merekodkan kes kebakaran terbuka tertinggi dengan 515 kes diikuti Selangor dengan 344 dan Terengganu iaitu 289 kes.
Susulan peningkatan kes kebakaran terbuka, Nor Hisham berkata, pihaknya akan melaksanakan operasi dengan lebih efisien serta mengenalpasti lokasi hotspot berlakunya kebakaran.
“Kita ada kawasan kita kenal pasti seperti pelupusan sampah dan lakukan pemantuaan rapi. Malah, ia juga akan melibatkan Bomba komuniti,” katanya. – UTUSAN