Elak kongsi lokasi, buat siaran langsung hanya di rumah - Qistina Khaled - Utusan Malaysia

Elak kongsi lokasi, buat siaran langsung hanya di rumah – Qistina Khaled

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Gusar dengan insiden penculikan membabitkan golongan wanita, pelakon dan penyanyi, Qistina Khaled, 20, tidak akan berkongsi maklumat peribadi dan lokasi di media sosial atas tujuan keselamatan.

Malah penyanyi Benci Benci Tapi Rindu itu juga tidak akan keluar bersendirian bagi mengelak daripada terjadinya perkara tidak diingini.

“Sekarang saya lebih berjaga-jaga dan selalu ditemani kenalan terdekat sekiranya mahu keluar rumah. Saya pula sering berjumpa ramai orang. Perkara buruk boleh terjadi kepada sesiapa sahaja.

“Saya juga tidak pernah kongsikan maklumat di mana saya berada terutamanya di media sosial walaupun ada yang bertanya.

“Selain itu, jika buat sesi siaran langsung, saya akan lakukan di rumah. Bukan di tempat awam,” katanya.

Qistina ditemui Utusan Malaysia sejurus tayangan episod akhir drama Ke Kodiang With Love, di pusat beli-belah Mid Valley, semalam.

Semakin dikenali selepas membintangi drama Aku Bukan Ustazah, Qistina bersyukur kerana tidak pernah berhadapan dengan komen berbaur ugutan atau diekori individu tidak dikenali.

“Syukur kerana saya tidak pernah berhadapan situasi teruk. Setakat ini, semuanya masih terkawal. Biasalah, kadangkala ada komen warganet yang bercakap perkara tidak enak didengar mengenai tubuh saya.

“Apa pun, saya berlapang dada. Saya faham inilah perkara yang perlu saya hadap sekiranya sudah memasuki bidang hiburan. Saya sudah persiapkan mental saya agar tidak mudah lemah.

“Kadangkala mereka komen teruk begitu kerana mahu perhatian. Bila kita tidak beri perhatian itu, mereka akan pergi sendiri,” katanya.

Sebelum ini, Malaysia digemparkan dengan berita Nur Farah Kartini yang hilang selepas gadis itu menghantar kereta sewa kepada seorang pelanggan di Taman Universiti, Tanjung Malim.

Selain itu, pada 28 Jun lalu, Ketua Polis Daerah Kuala Pilah Supt Amran Mohd Ghani menerima laporan berkaitan kehilangan remaja, Fiffy Arnatasya Abdullah di Kampung Terusan, Juasseh.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN