Dasar industri perkapalan akan diperkenal, bakal buka lebih banyak peluang kerja

Dasar industri perkapalan akan diperkenal, bakal buka lebih banyak peluang kerja

ANTHONY Loke ketika mempengerusikan Mesyuarat National Shipping Port Council (NSPC) Bil.1/2024 di Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Satu dasar industri perkapalan negara akan diperkenalkan bagi membantu industri perkapalan tempatan dalam sektor eksport dan import sekali gus membuka lebih banyak peluang pekerjaan baharu.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, cadangan itu dibangkitkan pada mesyuarat Majlis Perkapalan dan Pelabuhan Kebangsaan (NPSC) yang dipengerusikannya hari ini.

Beliau berkata, dasar itu penting bertujuan menggalakkan penggunaan kapal tempatan berserta kru untuk perkhidmatan barangan dan kargo terutama dalam bidang gas dan minyak atau bidang komoditi utama negara.

“Dasar ini kita akan bentang di Kabinet hujung tahun ini. Ia penting bagi memandu pertumbuhan industri perkapalan negara.

“Kami percaya lebih banyak peluang pekerjaan untuk rakyat tempatan dapat disediakan khususnya dalam bidang perkapalan.

“Malah, kita mahu mendedahkan industri ini kepada anak muda Malaysia terutama lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) ataupun lepasan universiti,” katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat itu, hari ini.

Katanya, bidang pekerjaan dalam sektor perkapalan menawarkan gaji lumayan dan beliau berharap dasar itu dapat memberi manfaat lebih besar kepada anak muda di negara ini.

Loke berkata, pelaut adalah satu profesion berpotensi kerana dalam dunia perkapalan sekarang ini memang negara kekurangan tenaga kerja.

“Malaysia sepatutnya mengambil peluang ini untuk terlibat dalam industri perkapalan dan sudah tentunya banyak peluang pekerjaan menanti,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, antara perkara lain yang dibangkitkan dalam mesyuarat itu adalah fokus bagaimana untuk menambah kapasiti dan juga kompetensi dalam pelabuhan negara termasuk menerusi pendigitalan.

“Kerajaan akan terus menggalakkan pelaburan dalam pelabuhan kita termasuk menerusi pendigitalan pelabuhan. Ia supaya menjadi pelabuhan yang lebih berdaya saing dan maju ke hadapan,” katanya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya