Dalam muzik, jadilah harimau – AR Rahman - Utusan Malaysia

Dalam muzik, jadilah harimau – AR Rahman

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SETIAP perkara yang didapatkan dengan jalan cepat dan mudah tidak selalunya baik. Segala yang pantas membuatkan manusia lupa menghargai proses jatuh dan bangun. Maestro muzik terkenal dari India, AR Rahman mengajak komposer muda untuk berhati-hati membawa diri dalam lambakan peluang dan ruang teknologi hari ini.

Dengan kehadiran kecerdasan buatan sesekali membuat para pemuzik tertanya-tanya, adakah kerjaya mereka boleh tergugat dengan kehadiran robot dan mesin?

Rahman tersenyum meyakinkan bahawa sehebat manapun teknologi berkembang, ia tidak mempunyai emosi dan akal untuk menghasilkan sesuatu yang baru. Teknologi paling tidak sekadar mencerap atau mengambil cebisan maklumat yang sudah ada di internet menjadi bentuk yang baru.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, pemenang trofi berprestij Anugerah Oscar, Golden Globe dan Grammy untuk runut bunyi Slumdog Millionaire ini berkongsi rahsianya dalam menghasilkan muzik yang menyentuh jiwa.

“Jadilah diri sendiri, jangan ikut orang lain. Memang kedengaran mudah, tapi tidak semua ada kemampuan untuk meneroka keunikan yang ada dalam diri.

“Kita semua dibesarkan dengan cara yang berbeza. Ibu bapa kita mengajar nilai dan daya intelektual berbeza. Semua ini mendorong kita untuk menonjol daripada semua.

“Jadi, jika dapat mengisi kekosongan itu, kita akan berjaya. Jangan jadi biri-biri, jadilah harimau,” katanya.

Rahman berkata demikian dalam sesi pertemuan eksklusif bersama peminat yang diadakan di Pusat Konvensyen Star, Menara PGRM, Cheras, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

MICHEAL JACKSON

Pemuzik yang mendapat gelaran Mozart of Madras ini sebenarnya hampir menghasilkan sebuah lagu khas mengenai keamanan sejagat dan masalah iklim dunia bersama legenda pop dunia, Michael Jackson.

Namun sayangnya, penyanyi itu menghembuskan nafas yang terakhir beberapa bulan selepas pertemuan mereka pada tahun 2009.

“Selepas memenangi Oscar, keesokan harinya saya berjumpa Jackson di kediamannya di Los Angeles, pada pukul 6:30 petang.

“Dia sendiri yang buka pintu sambil memakai sarung tangan dan cermin mata ikoniknya.

“Kami berbual banyak perkara seperti topik keamanan dunia, tentang muzik dan paling mengejutkan dia siap menari di depan saya. Ia perkara yang tidak dapat dilupakan.

“Saya masih ingat kata Jackson ‘apapun yang kamu buat, saya akan turuti’. Sayangnya projek itu tidak sempat kami selesaikan kerana dia telah pergi lebih dulu,” ceritanya.

MERENDAH DIRI ADALAH KUNCI

Pemuzik itu mula mencuri tumpuan pada tahun 1992 menerusi lagu Dil Hai Chhota Sa dan Ye Hasi Wadiya yang juga merupakan runut bunyi filem Roja.

Kini sudah lebih tiga dekad namanya dikenali. Pesan Rahman lagi, bila sudah mengecap manis populariti jangan pula lupa merendah diri.

“Kejayaan hadir jika seseorang itu berdedikasi meletakkan segala usaha kepada apa yang diminati. Jangan biarkan kekayaan mahupun populariti diri.

“Segala hal materialistik sama ada kereta atau rumah yang besar akan kita tinggalkan. Di akhirnya, kita akan pulang ke ‘rumah’ yang sama,” katanya lagi.

Penerima ijazah muzik klasik barat dari Universiti Oxford itu juga berkongsi bagaimana dia mendapatkan inspirasi menghasilkan karya terbaharunya untuk filem Ponniyin Selvan.

“Bagi menghasilkan muzik untuk filem ini saya terbang ke Bali dan duduk di sana selama seminggu.

“Di Bali, masih ada lagi budaya Tamil di tengah tradisi lain di Indonesia. Ada 25 idea yang berjaya saya hasilkan sepanjang di sana. Contohnya lagu Devaralan Aattam yang diinspirasikan daripada tarian Ramayana di Bali.

“Bukan itu sahaja, saya turut membeli pelbagai instrumen muzik di Bali untuk dibawa ke India,” ceritanya.

Dalam perkembangan lain, penyanyi itu bakal kembali mengadakan konsert AR Rahman Live in Kuala Lumpur yang bakal berlangsung pada 27 Julai nanti, jam 8 malam, di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ).

Sebelum ini, semasa konsert tahun lalu, Datuk Seri Siti Nurhaliza turut berduet bersamanya menerusi lagu Tamil klasik berjudul ‘Munbe Vaa’ yang dihadiri lebih 60,000 pengunjung.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN