SEPANG: Tindakan berani seorang lelaki membawa dadah jenis Ketamin dalam kotak mi segera ketika mendaftar masuk penerbangan membawa padah apabila dia ditahan pihak berkuasa.
Dalam kejadian di Terminal 2 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 16 Jun lalu, suspek lelaki tempatan berusia 35 tahun itu ditahan hasil pemeriksaan anggota Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan anggota Aviation Security Malaysia Airport (AVSEC).
Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Tengah, Norlela Ismail berkata, suspek ditahan ketika mendaftar masuk secara ‘self check in’ bersama kotak mi berisi dadah itu di kaunter sebuah syarikat penerbangan tempatan.
Beliau berkata, pemeriksaan lanjut menemukan sejumlah 15 mampatan kristal putih yang disyaki dadah jenis Ketamin yang telah diisi di dalam bungkusan teh.
“Bungkusan teh itu kemudian diisi ke dalam kotak makanan berlabelkan jenama mi segera dengan anggaran berat kasar 15.181 kilogram (kg) bernilai kira-kira RM760,000.
Katanya, suspek dipercayai ingin membawa dadah tersebut ke Miri, Sarawak,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.
Norlela berkata, ketamin adalah dadah yang disenaraikan di bawah Jadual Pertama, Bahagian III, Akta Dadah Berbahaya 1952 (Akta 234).
Menurutnya, siasatan juga mendapati, suspek cuba mengaburi mata pihak berkuasa dengan menyembunyikan dadah dalam bungkusan makanan sebelum menggunakan kaedah daftar penerbangan secara self check in.
“Siasatan masih dijalankan sama ada suspek keldai dadah atau sebaliknya dan kes disiasat mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952 (Akta 234),” katanya.
Dalam kes berasingan pada 19 Jun lalu di Zon Bebas Kargo, KLIA, pasukan sama berjaya menemukan satu kotak bungkusan kurier yang diikrar sebagai “Njoy Caramel Cubes”.
Katanya, hasil pemeriksaan rapi yang dijalankan telah menemui 15 termos berlabel ‘Lavender 1000ml yang mengandungi pil-pil disyaki dadah jenis 3,4-Methylenedioxymethamphetamine (MDMA) beranggaran kasar seberat 14.663 kg.
“MDMA yang disita itu dianggarkan bernilai sekitar RM2.5 juta MDMA adalah dadah yang disenaraikan di bawah Jadual Pertama, Bahagian
III, Akta Dadah Berbahaya 1952 (Akta 234),” katanya.
Katanya, siasatan awal mendapati, bungkusan dari Eropah itu adalah bungkusan tidak dituntut dan dialamatkan kepada sebuah syarikat tempatan.
Norlela berkata, pihaknya masih mengesan syarikat berkenaan sama ada syarikat itu wujud atau tidak malah, semak silang sedang dilakukan dengan kerjasama Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).
Katanya, kedua-dua kes jika disabitkan kesalahan boleh dijatuhkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan akan dijatuhkan hukuman sebat tidak kurang 12 sebatan sekiranya tidak dijatuhkan hukuman mati. – UTUSAN