PETALING JAYA: Pelakon, Fattah Amin, mengakui bertuah kerana berkahwin dengan isterinya, Nur Fazura yang disifatkan sebagai wanita terbaik dan ikhlas.
Tujuh tahun melayari bahtera perkahwinan, Pelakon Lelaki Telefilem Popular, Anugerah Telenovela itu mendedahkan Fazura tidak pernah membiarkannya makan seorang diri.
“Di rumah kalau makan bersama, dia tidak pernah biarkan saya tuang nasi atau air sendiri. Kalau nampak saya nak buat, dia akan cepat-cepat tuangkan dulu.
“Bukan itu sahaja, tidak pernah sekali pun Fazura terlepas temankan saya makan. Kalau dia sudah makan, dia akan duduk tepi saya.
“Perkara itu yang selalu buat saya rasa bertuah dan hanya Fazura satu dalam sejuta,” katanya.
Fattah berkata demikian dalam satu video temu ramah bersama majalah Pa&Ma di YouTube.
Bukan itu sahaja, pelakon Ganjil itu juga sempat menayangkan wajah Fazura dan anak mereka, Fatimah yang menjadi gambar skrin utama telefon bimbitnya.
“Ke mana-mana saya pergi, memang gambar isteri dan anak akan selalu ada.
“Sudah lama saya guna gambar ini. Kalau tengok, waktu ini pun Fatimah kecil lagi sekitar dua tahun.
“Inilah yang saya pandang atau jadi peneman setiap kali penggambaran atau balas apa-apa mesej di telefon,” jelasnya.
Bercakap mengenai cabaran alam perkahwinan, Fattah menegaskan telah menutup pintu hati agar tidak terjebak dengan sebarang gangguan orang ketiga.
“Kita sebenarnya ada pilihan mahu benarkan atau tidak kehadiran orang ketiga. Memang ada peluang itu, tapi sebagai suami kita kena sedar sudah beristeri. Kita pun tak nak isteri buat benda yang sama.
“Itulah yang selalu saya ingatkan dalam fikiran. Sebaiknya kita elak,” tambahnya.
Perkongsian Fattah tersebut secara tidak langsung menamatkan spekulasi kononnya hubungan rumah tangga dua pasangan itu sedang bergolak belakangan ini.
Fattah dan Fazura mendirikan rumah tangga pada 27 November 2017 dan kini dikurniakan seorang cahaya mata, Nur Fatima Aisya yang berusia empat tahun. – UTUSAN