Cari rezeki halal, bukan nak popular – Jaja Iliyes

Cari rezeki halal, bukan nak popular – Jaja Iliyes

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“Saya hanya mahu cari rezeki, bukan nak jadi popular.”

Itu jawapan pelakon, Jaja Iliyes apabila ditanya sama ada dia terkilan disebabkan namanya tidak sepopular pelakon lain.

Pendirian pelakon berusia 29 tahun ini jelas. Kemasyhuran bukan perkara yang dikejarkannya.

“Saya masuk dunia seni sebab mahu cari rezeki halal. Bukan kejar popular.

“Ada orang nak terkenal, ada juga cuma nak cari rezeki. Itu dua perkara berbeza. Saya pilih untuk cari rezeki, bukan populariti.

“Rezeki saya dalam bidang ini. Saya tak pernah jangka akan jadi pelakon. Bahkan dalam keluarga, saya seorang sahaja yang bekerja dalam bidang ini. Itu semua ketentuan Allah,” katanya yang ditemui sempena majlis doa selamat dan sidang media filem Dajal: Satu Malam Di Pedal.

Bagaimanapun, Jaja atau Siti Hajar Iliyes tidak menafikan dia cukup mendambakan untuk menggenggam anugerah.

Katanya, dia akan berasa puas sekiranya memiliki anugerah hasil kerja keras dan usaha sebagai pelakon.

“Lapan tahun saya berada dalam industri seni, itu yang saya mahukan, pegang anugerah. Kalau dapat, saya akan okey sebenarnya.

“Lakonan adalah minat saya dan disebabkan itu saya belajar dalam bidang teater. Bila berlakon, saya akan rasa puas.

“Tapi dalam kejar anugerah, saya sentiasa ingat batas saya. Bukan semua watak kita boleh lakonkan.

“Jadi tidaklah saya mahu susahkan orang lain di kemudian hari disebabkan saya main ambil sahaja watak yang saya sendiri tak mampu lakonkan,” jelasnya.

PIERRE ANDRE
Impian Jaja untuk bekerjasama dengan pelakon dan pengarah prolifik ini akhirnya kesampaian menerusi filem Dajal: Satu Malam Di Pedal.

Jaja akui, dia sekian lama menantikan peluang untuk berlakon di bawah arahan Pierre yang menjadi pelakon idolanya sejak dulu.

“Saya teruja, sebab masa kecil dulu saya selalu tonton lakonan dan filem arahannya.

“Sebelum ini saya tak pernah dapat peluang ini. Filem ini adalah yang pertama menemukan saya dengan Pierre,” kongsinya.

Bercerita tentang watak, Jaja juga tidak menafikan karakter Maisarah yang dilakonkannya dalam filem berkenaan adalah antara yang paling berat dibawakannya sepanjang bergelar pelakon.

“Maisarah ini seorang yang misteri. Awal cerita mungkin kita tak nampak sangat karakternya. Tapi sebenarnya dia adalah ‘sesuatu’ dan berperanan penting dalam filem ini.

“Watak ini memang gelap, tak berperikemanusiaan,” kongsinya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN