Calon kalah PRK Sungai Bakap, PKR terima sebagai isyarat lakukan muhasabah

Calon kalah PRK Sungai Bakap, PKR terima sebagai isyarat lakukan muhasabah

NURUL Izzah Anwar (duduk, tengah) semasa sidang akhbar di Bilik Gerakan Utama PH di Nibong Tebal, Pulau Pinang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NIBONG TEBAL: PKR menerima kekalahan calon Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Bakap sebagai satu isyarat untuk parti berkenaan melakukan muhasabah supaya tidak berasa terlalu selesa.

Naib Presidennya, Nurul Izzah Anwar berkata, kekalahan itu juga menjadi peringatan bahawa kerja-kerja menyakinkan rakyat tidak boleh terhenti setakat ini sahaja.

”Kekalahan ini diambil dengan penuh tanggungjawab sebagai isyarat untuk terus bermuhasabah dan mengingatkan kita bahawa kita tidak boleh terlalu selesa, serta kerja-kerja untuk meyakinkan rakyat tidak boleh terhenti. 

“Hakikat ini kita sahut sebagai cabaran lanjutan dalam diari perjuangan hidup,” katanya dalam sidang akhbar di Bilik Gerakan Utama PH, di sini.

Pada PRK itu, Perikatan Nasional (PN) mengekalkan status quo di Sungai Bakap selepas calonnya, Abidin Ismail menang dengan majoriti 4,267 undi setelah menewaskan Joohari Ariffin.

PRK Dun Sungai Bakap diadakan susulan kematian penyandangnya, Nor Zamri Latiff yang juga Yang Dipertua Pas Nibong Tebal, pada 24 Mei lalu akibat keradangan dalam perut.

Menurut Nurul Izzah, keputusan itu juga adalah untuk PKR bertekad dan bermuhasabah melakukan perubahan demi masa depan Pulau Pinang dan Malaysia yang lebih baik.

”PKR menerima dan menghormati keputusan yang dibuat oleh warga Sungai Bakap,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, apa yang mendukacitakan adalah kewujudan serangan perkauman sempit dan fitnah jahat yang dilempar pihak lawan dalam PRK berkenaan bagi mempengaruhi sentimen pengundi.

“Walau apa pun, kita harus berusaha bagi membawa kembali perdebatan, penerangan serta usaha penyelesaian yang tertumpu kepada isu-isu pokok.

“Antaranya seperti kebajikan rakyat, pendidikan anak-anak, pembangunan infrastruktur serta kelangsungan hidup yang mengimbangkan keperluan seberang dan juga pulau,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya