PETALING JAYA: Penyanyi dan cef selebriti, Datuk Fazley Yaakob menyarankan agar warganet menjadi ‘polis’ bagi membantu membanteras gejala buli siber yang semakin menjadi-jadi sejak kebelakangan ini.
Menurut Fazley, buli siber itu nyata dan sekarang sudah sampai masanya untuk warganet menjadi polis siber yang melindungi mereka yang dibuli secara dalam talian.
“Kerja anda, bantu ketengahkan pembuli-pembuli ini supaya mangsa terbela dan ada pihak anti-buli yang membuat kerja ‘mengutip pahala’ dari biarkan pembuli itu ‘kutip dosa percuma’.
“Tak semua orang tahu apa nak buat jika dibuli secara dalam talian. Tahu-tahu, dah terlambat. Bunuh diri, kemurungan, bergaduh satu keluarga, pukul orang lain dan macam -macam lagi kesannya.
“Buli siber ini juga boleh menjadi kes yang lebih besar apabila dimalukan secara maya, peras ugut duit, maruah, jawatan dan macam – macam lagi,” katanya.
Selain itu, Fazley berkata semua pihak harus memainkan peranan dan melakukan sesuatu kerana belum ada undang-undang khas untuk membanteras jenayah itu.
“Kita semua harus lakukan sesuatu sekarang juga. Jika mahu tunggu rang undang-undang dilaksanakan akan mengambil masa yang sangat lama, tapi masanya akan tiba.
“Sementara menunggu undang-undang itu, lawan buli siber dengan ‘polis versi netizen’ pula,” ujarnya.
Selebriti berusia 46 tahun itu berkongsi pandangannya pada video yang dimuat naik di Reels Instagram miliknya.
Dalam pada itu, Fazley turut menyarankan hukuman yang lebih berat wajar dikenakan kepada sesiapa yang melakukan buli siber.
“Satu hari nanti, buli siber pun patut dihukum gantung jika menyebabkan kematian! RM 100 denda? Kita boleh buat lebih baik daripada inilah!
“Kita semua ada anak, isteri, suami dan keluarga besar serta kecil. Takkan sampai dah kena kepada keluarga sendiri, baru kita nak tergadah,” katanya lagi di kapsyen.-UTUSAN