KUALA LUMPUR: TikTok akan menambah jumlah moderator dalam pelbagai bahasa bagi meneliti kandungan sesi siaran secara langsung (TikTok Live) bagi mengelak insiden buli siber sehingga menyebabkan kematian.
Menurut Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, perkara itu dimaklumkan pengendali media sosial itu hasil perbincangan mereka.
“Kabinet sendiri berpendirian bahawa platform ini tidak boleh ‘cuci tangan’ dan kita tidak melihat perkara ini hanya dari segi buli siber, tetapi juga banyak masalah yang berlaku apabila ramai yang menjadi mangsa scammer.
“Saya sejujurnya akan meneliti semua komen dan semua iklan scam termasuk judi dalam talian. Banyak perkara yang kita nak minta platform ini segera perbetulkan,” katanya dalam sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Yuneswaran Ramaraj (PH-Segamat) yang meminta kementerian menjelaskan langkah bagi mengawal kandungan dalam pelbagai bahasa (di media sosial) untuk mengelakkan kejadian buli siber sehingga menyebabkan kematian.
Sebelum ini, media melaporkan, pempengaruh TikTok, Rajeswari Appham atau lebih dikenali sebagai Esha bertindak membunuh diri disebabkan buli siber.
Mengulas lanjut, Fahmi berkata, kementerian berpandangan terdapat keperluan untuk mengambil tindakan yang lebih tegas termasuk meminta kerjasama semua pengendali media sosial agar tidak membenarkan kanak-kanak berusia di bawah 13 tahun untuk membuka akaun media sosial.
“Memang semua patform tidak benarkan mereka buka akaun media sosial, namun malangnya platform ini culas untuk buat pengesahan umur pemilik akaun yang dimaksudkan,” katanya. – UTUSAN