Buli siber sudah jadi macam wabak - Shuk Sahar - Utusan Malaysia

Buli siber sudah jadi macam wabak – Shuk Sahar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelawak, Shuk Sahar, meminta agar warga maya menggunakan hak kebebasan bersuara di media sosial dengan sewajarnya.

Shuk atau Mohammad Shukri Mohamed Sahar, 38, menganggap jenayah buli siber telah tersebar seperti wabak sehingga boleh mempengaruhi mangsa untuk mencedera atau membunuh diri sendiri.

“Selama ini kita dengar kes buli siber ini berlaku di luar negara seperti Korea sahaja.

“Bila berlaku di Malaysia, lebih-lebih mangsa adalah seorang pempengaruh yang mengulas produk kecantikan secara jujur, ia memang tidak patut berlaku.

“Bagi saya jenayah buli siber sudah menjadi wabak. Jika mereka rasa pendapat orang lain berbeza sedikit, terus hentam tanpa guna fikiran,” katanya.

Shuk berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai jenayah buli siber yang mengorbankan seorang pempengaruh di aplikasi TikTok, Esha, baru-baru ini.

Pernah menjadi mangsa buli siber ketika kontroversi membabitkan rumah tangga meletus pada 2021, Shuk bagaimanapun menjelaskan tidak semua orang mampu berhadapan dengan situasi itu di media sosial.

“Ketika saya tular dulu, saya akui salah saya. Tapi kes saya berbeza dengan pempengaruh, Esya tadi.

“Bukan semua mampu berhadapan dengan kata-kata tajam. Bila orang bunuh diri, kita tidak dapat tarik baik kata-kata itu.

“Adakah dengan padam komen, mangsa buli siber itu boleh hidup semula?

“Pada saya, kalau seseorang itu tak mampu hadap kecaman, tutup sahaja ruangan komen,” katanya.

Dalam pada itu, pelawak itu juga meminta masyarakat agar mempunyai sifat empati dan berpada-pada menurunkan komen.

“Sudah menjadi kebiasaan untuk kita bersuara jika rasa diri sudah betul.

“Kalau boleh sebelum tulis atau bercakap, fikirlah. Kalau seseorang itu salah sekalipun, berpada-padalah.

“Bagaimana kalau suatu hari nanti ahli keluarga kita pula terkena perkara serupa?” jelasnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya