PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan rasa tidak puas hati terhadap kejadian-kejadian buli siber yang berlaku akhir-akhir ini sehingga mengakibatkan kematian.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, perkara tersebut disuarakan Anwar menerusi mesyuarat Kabinet yang berlangsung hari ini.
“Beliau telah meminta supaya MCMC (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia) dan PDRM (Polis Diraja Malaysia) mengambil tindakan sangat tegas dan kita perlu berusaha untuk menghentikan buli siber daripada berterusan,” katanya menerusi sidang akhbar mingguan di sini hari ini.
Media sebelum ini melaporkan, seorang pempengaruh TikTok didakwa membunuh diri selepas menjadi mangsa buli siber di Gombak Setia.
Ketika ditanya berhubung mewujudkan akta spesifik berkaitan gejala buli siber, Fahmi berkata, pihaknya akan meneliti keperluan sama ada untuk meminda akta sedia ada seperti Kanun Keseksaan serta Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, atau menggubal akta khusus mengenai buli siber.
“Saya baru maklumkan kepada Kabinet bahawa kita mempunyai beberapa kajian (sebelum ini), tetapi kita belum berada di peringkat yang kita akan mengesyorkan atau akan membawa rang undang-undang (RUU) itu ke Parlimen.
“Namun, kita masih boleh mengambil tindakan sekarang berdasarkan undang-undang sedia ada dan semasa,” ujarnya.
Fahmi berkata, perkara tersebut merupakan antara tiga langkah yang dikemukakan dalam mesyuarat Kabinet pada hari ini sebagai tindakan mengatasi gejala buli siber.
Ia selain cadangan untuk mengadakan jerayawara bagi meningkatkan kesedaran tentang keselamatan dalam talian serta dari segi pengurusan dalam menerima laporan berhubung kes buli siber.
“Kedua adalah melibatkan aspek pengurusan atau pentadbiran iaitu kelancaran hubungan di antara pihak MCMC dan PDRM, kadang-kala pengadu akan pergi balai polis untuk membuat laporan, kemudian mereka diminta membuat laporan ke MCMC dan pihak MCMC meminta mereka untuk buat laporan polis dan perkara itu berulang.
“Jadi masalah ini telah dikenal pasti, MCMC dan PDRM khususnya JSJ (Jabatan Siasatan Jenayah) telah bersetuju untuk meneliti dan memudahkan proses untuk membuat laporan bagi para pengadu,” katanya.
Tambah Fahmi yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan, satu pertemuan dengan penyedia platform TikTok akan diadakan pada minggu hadapan bagi membincangkan mengenai isu tersebut.
“Saya juga telah berhubung dengan Tiktok memaklumkan pada mereka bahawa mereka perlu bertanggungjawab dan mereka bersedia untuk memberikan kerjasama yang baik kepada kementerian untuk mengatasi masalah ini dan mereka akan bertemu dengan kami minggu hadapan. – UTUSAN