Bukan mudah kekal relevan jika usia kumpulan sudah menjangkau 50 tahun. Namun itulah keunikan Blues Gang yang masih aktif sehingga kini, tidak keterlaluan melabelkan mereka adalah legenda yang kekal memperjuangkan genre blues sehingga kini.
Meniti populariti sejak dekad 70-an, Blues Gang yang dicetuskan oleh Ito Mohd, berjaya mengangkat jenama dengan persembahan di pentas kelab malam sekitar ibu kota, sebelum melahirkan rilisan pertama bahasa Inggeris, Any Time Any Day pada 1979.
Perjalanan seni Blues Gang amat membanggakan apabila hadir dengan 11 buah album solo dan empat kompilasi, satu angka yang memberangsangkan bagi sebuah kumpulan yang low of profile dari sudut publisiti.
Kini hampir lima dekad berlalu, jenama Blues Gang masih tidak luput ditelan zaman. Karyanya unggul dan malar segar di corong radio. Walau tanpa rilisan baharu, tetap gah bersandarkan masterpiece sedia ada .
Demi menghargai peminat setia yang sentiasa menyokong karier mereka, Blues Gang akan muncul dalam sebuah persembahan berskala besar pada malam Eksklusif Konsert Blues Gang Apo Nak Dikato yang dijadualkan berlangsung di pentas Zepp, Kuala Lumpur pada 9 Ogos hadapan.
Menurut penyanyinya, Ito, konsert ini dianggap sebagai sebuah penceritaan pembabitan lima dekad mereka dalam industri, malah mengambil tajuk lagu hits, Apo Nak Dikato sebagai tagline bersempena konsert ini nanti.
“Ini merupakan satu penghormatan dan momen terindah Blues Gang bertemu peminat selepas 50 tahun. Kali terakhir Blues Gang mengadakan konsert berskala besar ketika bersama Sweet Charity pada Konsert 2 Raksaksa Reunion sekitar 2011.
“Mungkin selama ini peminat hanya dengar lagu-lagu sahaja tetapi tidak pernah saksikan persembahan kami di depan mata, jadi inilah waktunya, bukan sahaja eksklusif tetapi cukup bermakna.
“Pastinya kami akan menjadikan malam tersebut cukup istimewa kerana selain menyajikan lagu-lagu hits dan malar segar akan ada juga kelainan untuk meninggalkan nostalgia buat peminat,” katanya.
Walaupun kehilangan beberapa orang anggota antaranya, Jim Madasamy (vokal/bass) yang meninggal dunia pada 2018 disusuli oleh Shai Karim (dram/ vokal) pada Julai tahun lalu, namun Blues Gang tetap meneruskan perjuangan tanpa ada istilah bersara atau tutup buku.
SINGLE BAHARU
Blues Gang tidak pernah berkubur, malah konsert ini juga bertujuan untuk menghidupkan kembali kenangan bersama, selain bertepatan dengan kelahiran single, Bincang Adik Beradik yang bakal dilancarkan nanti.
Menurut Pengarah Urusan AV Group, Zool Azri Abu Bakar, walaupun Blues Gang kini hanya tiNggal bertiga iaitu Ito (vokal/harmonika), Julian Mokhtar (gitar) dan Ghani Dato Abu Talib (gitar/ keyboard), namun dia percaya aura mereka masih kuat dan diminati peminat.
Bersesuaian dengan perjuangan Blues Gang yang terus dikagumi melalui identiti dan sentuhan muzik yang dibawa, sebuah segmen berkonsepkan kemelayuan turut diperkenalkan pada malam konsert yang pastinya membawa magis tersendiri.
“Selain puluhan lagu yang akan dibawa, segmen berkonsepkan kemelayuan akan menyaksikan alunan blues dan rock menyatu dalam Dikir Barat yang akan menampilkan Issey Gegar FM dan Mat Ropi & Friends, serta beberapa individu daripada pelbagai bangsa yang bermain alatan tradisional.
“Konsert ini adalah satu penghormatan besar kepada sebuah band legenda yang masih utuh dengan perjuangan. Muzik mereka merentas zaman dan diminati pelbagai bangsa dan lapisan masyarakat,” ujarnya.
Selain persembahan istimewa, pelbagai hadiah serta cenderahati ekslusif turut di hadiahkan kepada penonton bertuah pada malam itu nanti.
Peminat boleh mendapatkan tiket konsert ini menggunakan aplikasi ATOME di ilasso tickets yang memberi pilihan bayaran ansuran kepada pembeli.
Tiket berharga RM198 (Silver), RM268 (Gold), RM398 (Platinum) dan RM338 (Diamond), selain RM5,099 bagi Royal Box boleh didapatkan dengan melayari http://ilassotickets.com atau hotline +60 11-1329 7822.
Konsert Blues Gang Apo Nak Dikato juga menyaksikan Belbis mengendalikan Produksi, Mewah Event Management (MEM) dan Ito Cottage Muzik sebagai rakan strategik, selain Ilassotickets bagi pengurusan tiket serta sokongan Penajaan dari PBH Music & BLW sebagai rakan teknikal dan cenderahati kepada peminat.