Bertabayyun, selidik sebelum hukum - Utusan Malaysia

Bertabayyun, selidik sebelum hukum

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BEBERAPA kes melibatkan golongan asatizah dan para ‘ustaz maya’ membuatkan tiang kepercayaan terhadap pendakwah sedikit goyah. Tidak adil jika kita pukul rata tetapi itulah yang rancak diperdebatkan di media sosial.

Lantas sebagai stesen televisyen merintis dan mengutamakan penyiaran kandungan Islam, TV AlHijrah tidak dapat lari daripada dikaitkan dengan isu melibatkan para asatizah dan ilmuan agama.

Menjadi persoalan, apakah pendirian stesen TV tersebut terhadap golongan asatizah yang dikaitkan dengan pelbagai kontroversi termasuk penarikan pentauliahan? Apakah ada prosedur operasi standard (SOP) berhubung perkara tersebut?

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Namanzee Harris berkata, AlHijrah mempunyai garis panduan dan polisi tertentu dalam menentukan kesinambungan penglibatan para asatizah yang terlibat sebarang isu dalam stesen TV tersebut.

“Para agamawan adalah sumber rujukan yang sangat penting untuk kita. Jika ada isu berbangkit melibatkan para asatizah yang ketika itu sedang atau bakal bekerjasama dengan kami, ada beberapa prosedur yang perlu diambil kira.

“Kami akan mendapatkan penjelasan daripada tuan badan melihat kepada isu yang dibangkitakan. Jika berbentuk peribadi, kami akan berbincang secara terus dengan individu tersebut.

“Jika melibatkan agensi agama, maka kami perlu menghormati keputusan yang dikeluarkan. Itu pentingnya tabayyun. Kita perlu melihat dari pelbagai sudut. Tidak boleh menghukum tanpa tabayyun dan prosedur rasmi,” ujarnya.

Dalam pada itu, Namanzee menambah, pihaknya juga bersedia untuk menangguh atau membatalkan sebarang program melibatkan individu yang didapati bersalah atau hilang pentauliahan.

“Itu adalah prosedur rasmi. Jika didapati dakwaan tersebut benar, maka program melibatkan individu itu akan dihentikan. Jika tiada bukti atau sekadar khabar angin, maka kami akan tangguhkan dahulu sementara mendapatkan penjelasan.

“Para asatizah juga maklum kerana mereka sebagai pembawa risalah agama, maka setiap dakwaan, isu berbangkit perlu diselesaikan dahulu sebelum tampil secara umum. Kepercayaan itu yang harus dijaga,” ujarnya.

SANTUNI PENONTON
Sementara itu, sempena meraikan ulang tahun ke-14, TV AlHijrah bertekad untuk memperkukuhkan lagi kandungan sedia ada dengan memberi nafas baharu demi memastikan setiap program terus relevan dan menarik minat penonton dari pelbagai lapisan masyarakat.

Antara program yang terus menjadi tunjang utama adalah Assalamualaikum, Berita AlHijrah, Cinta Ilmu, Analisis, Quran@114 dan banyak lagi yang diberi sentuhan baharu dari segi pengisian dan penyampaian untuk memastikan ia terus segar dan sesuai dengan perkembangan semasa.

Ketua Kumpulan Integrasi Media & Hal Ehwal Korporat TV AlHijrah, Saifulizan Sidek pula berkata, dalam usaha memperkukuhkan kedudukannya sebagai stesen televisyen Islamik terunggul di Malaysia, TV AlHijrah akan terus komited menyediakan kandungan berkualiti kepada penonton setianya.

“Kami amat berbesar hati dengan sokongan yang tidak berbelah bahagi daripada penonton selama ini. Dengan usaha memperkukuhkan kandungan dan memberi nafas baharu kepada program-program kami, kami yakin dapat terus memenuhi keperluan dan ekspektasi penonton.

“Kami juga gembira dengan sambutan positif terhadap aplikasi Alhijrah Plus yang sudah dimuat turun oleh lebih 150,000 pengguna aktif sejak diperkenalkan pada 2021 sekali gus mencerminkan minat dan sokongan kuat daripada penonton setia TV AlHijrah,”katanya.

Lari daripada kebiasaan TV AlHijrah menyambut ulang tahunnya apabila tampil dengan program tanggungjawab sosial dengan menyantun empat pertubuhan menerusi program Hijrah Prihatin Kisah Mereka baru-baru ini.

Sebanyak 100 bakul makanan diberikan kepada Pertubuhan Ibu Tunggal Kebangsaan Malaysia, PPR Desa Tun Razak, Cheras (Mualaf), Pertubuhan Kebajikan & Pendidikan Al Mahabbah dan Pusat Jagaan Warga Emas Al-Fattah.

“Selalunya kami yang menerima hadiah atau kek sempena tahun ulang tahun, tapi tahun ini kami ingin berkongsi rezeki kepada golongan yang memerlukan.

“Kami percaya inisiatif seperti ini lebih dekat dengan masyarakat.Kami sudah mengadakan pelbagai program sambutan, jadi kali ini kita cuba lari daripada kebiasaan. Kita perlu berkongsi program yang selalu dibuat tapi tak nampak di televisyen yang mana ia sangat signifikan dengan TV AlHijrah,” katanya.

“Sepanjang lapan tahun Hijrah Prihatin turun ke lapangan, pihaknya sudah menjelajah ke beberapa lokasi yang kurang mendapat tumpuan seperti pulau dan penempatan terpilih di kawasan pedalaman,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN