KANGAR: Kepentingan penjagaan kesihatan mental perlu diberi perhatian serius oleh seluruh rakyat Malaysia khususnya rakyat di negeri ini.
Pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, setiap individu perlu cakna mengenai tahap kesihatan mental diri sendiri dan orang sekeliling, sama ada ahli keluarga tersayang, rakan sekerja dan masyarakat.
“Segeralah mendapatkan rawatan yang sewajarnya sekiranya bergejala bagi mengelakkan kemudaratan yang lebih besar,” titah baginda berkenan merasmikan program jelajah Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) dan Karnival Perlis Hebat: Sihat Milik Semua di Pusat Transformasi Bandar (UTC) di sini semalam.
Turut berangkat, Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil yang dihadiri Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.
Terdahulu, Tuanku Syed Faizuddin turut berkenan merasmikan tiga klinik kesihatan baharu yang telah siap di Perlis iaitu Klinik Kesihatan Kampung Gial yang beroperasi pada 2 Oktober 2020, Klinik Kesihatan Pauh (beroperasi pada 27 Mac 2023) dan Klinik Kesihatan Padang Besar (beroperasi pada 25 September 2023).
Sementara itu, Tuanku Syed Faizuddin bertitah, gaya hidup aktif dan pemakanan sihat perlu dijadikan amalan bagi meningkatkan ketahanan badan dalam mencegah penyakit.
Titah baginda, rakyat Perlis juga disaran memanfaatkan segala kemudahan serta perkhidmatan kesihatan yang disediakan demi meningkatkan kualiti kesihatan dan kesejahterdan diri masing-masing.
“Banyak tempat-tempat riadah yang menenangkan di sekitar negeri Perlis ini. Bawalah keluarga untuk sama-sama beriadah demi kesihatan bersama. Amalan gaya hidup sihat sebenarnya dapat meningkatkan imuniti badan kita secara semula jadi,” titah baginda.
Baginda juga menyeru rakyat untuk memberikan sokongan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam mencapai matlamat mewujudkan kelestarian tahap kesihatan masyarakat.-UTUSAN