PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Belanjawan 2025 yang akan dibentangkan pada Oktober ini harus tertumpu kepada penanda aras yang ingin dicapai dalam kerangka Ekonomi Madani dengan meningkatkan dan melaksanakan pembaharuan berterusan.
Perdana Menteri berkata, intipati Belanjawan Ketiga di bawah Kerajaan Madani itu harus bermula asas sedemikian dengan merancakkan lagi usaha meningkatkan siling iaitu menstruktur semula ekonomi supaya dapat mencapai sasaran lebih tinggi pada tahap pencapaian ekonomi utama di Asia.
Pada masa sama ialah sasaran menaikkan lantai iaitu meningkatkan darjat hidup rakyat seperti menyediakan pekerjaan bermakna dan berpendapatan tinggi.
“Pada tahun lalu kita perkenalkan kerangka Ekonomi Madani diikuti pelan induk perindustrian baharu, pelan peralihan tenaga dan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).
“Beberapa pembaharuan dasar turut dikemukakan yang sebahagiannya sudah membuahkan hasil sejak awal 2024 dan tentunya memberi sedikit keresahan kerana setiap pembaharuan tentunya mengundang permasalahan tetapi boleh dileraikan melalui maklumat dan komunikasi dengan lebih berkesan.
“Selain itu, keperluan memacu pertumbuhan negara kerana hanya melalu pertumbuhan yang laju, pesat dan meyakinkan, dapat kita tingkatkan kemudahan kepada rakyat. Jadi Belanjawan 2025 akan bermula asas sedemikian,” katanya dalam ucaptama pada majlis libat urus Belanjawan 2025 di sini hari ini.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, langkah pembaharuan adalah satu kewajaran untuk memperbetulkan permasalahan struktural negara dengan mengambil beberapa langkah seperti memperkenalkan Akta Tanggungjawab Fiskal dan memperbaiki tatakelola sebagai prasyarat sebelum dapat menyelesaikan masalah dengan lebih berkesan.
Jelasnya, usaha menaikkan siling ini juga supaya penstrukturan ekonomi itu dapat dilakukan dalam memacu pertumbuhan, daya cipta, daya saing, pendigitalan, kecerdasan buatan (AI) yang diterokai selain reformasi dalam perkhidmatan awam.
“Kita tidak boleh harap kepada kaedah lama, sebaliknya melalui pendekatan atau dasar baharu.
“Selain menaikkan siling, adalah dengan menaikkan lantai juga menjadi cabaran utama kita, kalau tidak masyarakat di bawah akan ketinggalan dan rakyat di desa, miskin bandar dan di pedalaman tidak merasakan nikmat perubahan,” katanya.
Justeru, Perdana Menteri berharap sektor awam khususnya agensi penguatkuasaan supaya pantas dan berkesan dalam tindakan mereka dengan memastikan kecekapan, mengelakkan kebocoran, ketirisan dan rasuah.
Katanya, pencapaian awal negara diiktiraf di peringkat antarabangsa pada tahun ini antaranya, penarafan S&P Global Ratings (S&P) dan Fitch Ratings (Fitch) mengekalkan penarafan kredit berdaulat Malaysia masing-masing pada A- dan BBB+, dengan tinjauan ‘Stabil’.
Selain itu ialah pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi suku pertama 2024 sebanyak 4.2 peratus, berbanding suku keempat 2023 sebanyak 3 peratus.
Pemulihan eksport barangan pula dengan pertumbuhan 5.2 peratus pada suku pertama 2024berbanding penguncupan 8.1 peratus untuk tahun 2023.
“Kita telah mencapai paras indeks Bursa FBM KLCI melepasi 1,600 mata dan nilai pasaran ekuiti domestik mencecah angka tertinggi dalam sejarah sebanyak RM2 trilion.
“Pencapaian tertinggi dengan pelaburan langsung yang diluluskan tahun 2023 sebanyak RM329.5 bilion atau 23 peratus lebih tinggi ketimbang tahun 2022.
“Jadi Belanjawan Madani ketiga 2025 tentunya harus kekal (pencapaian negara pada tahun ini), dan tertumpu kepada penanda aras yang ingin dicapai dalam Ekonomi Madani,” katanya.
Pada masa sama, Perdana Menteri mahu meningkatkan upaya dalam menoktahkan kemiskinan tegar sekurang-kurangnya di 10 negeri pada akhir bulan ini selain memastikan prasarana asas, menjamin mutu pendidikan dan kemudahan kesihatan harus ditingkatkan
“Kebimbangan kita juga tentang kenaikan kos sara hidup yang tidak boleh diketepikan. Walaupun secara relatifnya, bahan penting di Malaysia, bahan asas lebih murah, tetapi itu tidak boleh menolak kenyataan bahawa kos sara hidup masih menekan sebahagian besar rakyat.
“Kita juga harus fikir kaedah baharu, melenyapkan kartel atau monopoli, atau mengelak ketirisan supaya pulangan itu akan balik kepada rakyat sama ada dari segi sumbangan tunai langsung ataupun bantuan khusus lain,” katanya. – UTUSAN