Bekas Mufti Pulau Pinang diangkat Tokoh Ma'al Hijrah Kebangsaan

Bekas Mufti Pulau Pinang Tokoh Ma’al Hijrah Kebangsaan

SULTAN Ibrahim menyampaikan Anugerah Tokoh Ma'al Hijrah Tahun 1446H/2024M Kategori Kebangsaan kepada Hassan Ahmad (tiga kanan) pada Majlis Sambutan Ma'al Hijrah Tahun 1446H / 2024M di PICC, Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Bekas Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Hassan Ahmad dinobatkan sebagai Tokoh Ma’al Hijrah Peringkat Kebangsaan Tahun 1446H/2024M.

Pada masa sama, Professor Asas Perundangan Islam, Universiti Qatar, Prof Dr. Ali Muhyiddin Ali Al-Qaradaghi, 75, pula dinobatkan sebagai Tokoh Ma’al Hijrah Peringkat Antarabangsa Tahun 1446H/2024M.

Hassan, 82, yang juga anak jati Permatang Sungai Dua, Kepala Batas, Seberang Perai, Pulau Pinang itu mempunyai Ijazah Sarjana Muda Syariah dan Undang-Undang Fakulti Syariah dan Undang-Undang Yayasan Pengajian Tinggi Islam Kelantan (YPTIK) Nilam Puri, Kelantan.

Beliau juga berkelulusan Ijazah Sarjana Usul Al-Fiqh Fakulti Syariah, Universiti Al-Azhar, Mesir dan kini berkhidmat sebagai Penasihat Kehormat Pusat Pengajian Darul Hadis, Pulau Pinang sejak tahun 2015.

Hassan turut menerbitkan beberapa buku termasuk Bai’al-Murabahah (Produk Kewangan Islam), Kepentingan Mencari Kekayaan Dalam Islam, Ruang Lingkup Ijtihad, Ijtihad dan Kesesuaian Islam
Untuk Semua Keadaan.

Beliau juga adalah penerima Anugerah Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan Tahun 1433H/2012M dan penerima Anugerah Tokoh Maal Hijrah Peringkat Negeri Pulau Pinang Tahun 1436H/2014M.

Manakala, Dr Ali Muhyiddin yang berasal dari Qaradagh, Daerah Sulaymaniyah, Wilayah Kurdistan, Iraq pula tidak asing bagi negara ini kerana beliau terbabit selama 40 tahun dalam menasihati sistem perbankan syariah dan ekonomi Islam di Malaysia.

Dr Ali Muhyiddin berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Syariah Islamiah dari Kolej Al-Imam Al-A’zam di Baghdad pada tahun 1975 selain memiliki Ijazah Sarjana dalam bidang perundangan perbandingan dari Fakulti Syariah dan Undang-undang di Universiti Al-Azhar pada tahun 1980.

Beliau juga pemegang ijazah kedoktoran dalam Syariah dan Undang-undang di Universiti Al-Azhar dalam bidang kontrak dan transaksi kewangan, pada tahun 1985.

Dr. Ali Muhyiddin ialah seorang ilmuwan dan pemikir Islam berpengaruh dunia dan banyak berkongsi kepakaran dan ilmu di Malaysia.

Beliau kini ialah Professor Asas Perundangan Islam, Universiti Qatar dan Naib Presiden di European Council for Fatwa and Research.

Kedua-dua tokoh menerima hadiah wang tunai, sijil dan trofi yang disampaikan oleh Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN