BCL berisiko tambah zuriat, mahu hidup lama dengan Noah - Utusan Malaysia

BCL berisiko tambah zuriat, mahu hidup lama dengan Noah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Penyanyi popular, Bunga Citra Lestari (BCL), tidak mempunyai perancangan untuk menambah cahaya mata kerana faktor usia.

Jelas penyanyi Badai Telah Berlalu itu, wanita yang berusia 40 tahun ke atas mempunyai risiko besar dari aspek kesihatan sekiranya mahu berbadan dua.

“Setakat ini, saya tidak berniat mahu mempunyai anak kerana Noah sudah remaja. Saya sudah berumur 41 tahun, jadi agak berisiko jika mahu mempunyai anak di usia lebih 40 tahun.

“Saya mahu mengelak sebarang risiko kerana mahu hidup lebih lama dengan Noah,” katanya.

Bunga berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai spekulasi di media sosial mengatakan penyanyi itu kelihatan berisi kerana sedang mengandung anak kedua.

Namun begitu, Bunga tidak menolak sebarang kemungkinan sekiranya direzekikan untuk hamil sekali lagi.

“Kita tidak tahu apa yang ditakdirkan Allah dan tidak boleh tolak. Hidup ini hanya perlu dijalani.

“Cuma setakat ini tiada perancangan untuk tambah anak. Spekulasi perut berisi itu mungkin kerana terlebih makan atau perut saya kembung seperti selalu,” katanya ketawa.

Bunga ditemui Utusan Malaysia di sidang media konsert pertama pertandingan Gimme The Mic Malaysia, di Pusat Konvensyen CIDB, Cheras, Kuala Lumpur pada Ahad.

Dalam perkembangan lain, Bunga baru sahaja membintangi dan menyanyikan lagu runut bunyi untuk filem terbaharunya, Pasutri Gaje.

“Selain menyanyikan lagu untuk filem tersebut, saya kini sedang dalam proses untuk menerbitkan lagu baru cuma belum ada kepastian sama ada untuk hasilkan single, album atau mini album.

“Sekarang semuanya sedang dalam proses mengumpul dan merakam lagu.

“Selain itu, saya seperti biasa sibuk melakukan persembahan kerana di Indonesia kebanyakan artis memang mencari wang dengan persembahan dan konsert di beberapa kawasan,” jelasnya.

Bunga merupakan salah seorang juri bagi pertandingan TikTok LIVE X Astro Gimme The Mic Malaysia bersama Yuna, Ajai dan Hael Husaini.

Gimme The Mic Malaysia ialah sebuah pertandingan pencarian bakat nyanyian yang disiarkan selama lapan minggu setiap Ahad, di Astro Ria.

Pada konsert minggu pertama, 10 peserta telah tersingkir menjadikan jumlah keseluruhan peserta yang layak untuk konsert minggu hadapan seramai 20 orang.

Juara TikTok LIVE X Astro Gimme The Mic Malaysia akan membawa pulang wang tunai bernilai RM10,000 daripada Astro, kira-kira RM9,300 (AS$2,000) daripada Tiktok dan projek album single tajaan Astro dan Rocketfuel.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN