BCL bahagia jadi isteri, enggan ulas kontroversi - Utusan Malaysia

BCL bahagia jadi isteri, enggan ulas kontroversi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BELUM cukup setahun usia perkahwinan serba mewah penyanyi popular, Bunga Citra Lestari (BCL) bersama suami,Tiko Aryawardhana. Namun nampaknya rumah tangga mereka terus menjadi perhatian apabila suaminya yang juga usahawan terpalit dengan kontroversi ‘songlap’ duit syarikat berjumlah RM1.7 juta, bulan lalu.

Laporan itu dilakukan bekas isteri Tiko, Arina Winarto kepada pihak polis selain mengambil tindakan undang-undang.

Tiko nampaknya tidak berdiam diri, malah ketika diwakili peguam, Irfan Aghasar, dia menjelaskan tindakan itu dilakukan Arina kerana wanita itu belum sepenuhnya mengikhlaskan perpisahan selain berasa cemburu.

Mahu atau tidak, kontroversi yang melibatkan Tiko akan terkena juga tempiasnya kepada BCL. Apatah lagi wanita itu merupakan artis popular dan figura seorang ibu kesayangan bagi perempuan di Indonesia.

Tiko pernah tampil membela BCL dan meminta agar buah hati kesayangannya tidak diheret sama dalam masalah perniagaannya.

Ketika ditemui Utusan Malaysia semasa sidang media konsert minggu pertama Gimme The Mic Malaysia, penyanyi Badai Telah Berlalu itu nampak tenang dan tidak lekang senyuman.

“Saya tidak mahu jawab tentang itu kerana kontroversi tersebut tiada kaitan dengan saya.

“Jadi boleh ditanyakan terus kepada orang yang terlibat,” katanya menolak secara baik ketika diminta mengulas mengenai kes yang masih panas diperkatakan di Indonesia tersebut.

Bagaimanapun, lapan bulan bergelar isteri kepada Tiko Aryawardhana tetap menjadi momen yang membahagiakan.

BCL mengakui kehidupannya berbeza jika mahu dibandingkan dengan zaman solonya sebelum ini. Namun, dia bersyukur kerana diberikan kesempatan untuk bergelar seorang isteri sekali lagi.

“Setakat ini bergelar isteri semuanya baik-baik sahaja. Lagipula, kita hanya perlu menjalani hidup ini seadanya.

“Semuanya tidak perlu sama tapi saya gembira. Bukan hanya saya, tapi anak saya Noah dan juga keluarga arwah Ashraf juga gembira melihat saya.

“Saya juga sudah semakin tua. Jadi saya mahu berikan fokus memikirkan cara terbaik menjalani hidup ini sebaik-baiknya setiap hari,” katanya lagi.

Reunion Yuna, keluarga Sinclair
Menjadi salah seorang juri bergandingan dengan Yuna untuk program pencarian bakat Gimme The Mic Malaysia. BCL menyifatkan program itu bukan sahaja membuka pintu rezeki malah memberi ruang kepadanya untuk bertemu kembali dengan Yuna dan keluarga Sinclair di Malaysia.

Bahkan, Bunga sempat memuat naik video menunjukkan keluarga Sinclair gembira menyambut kehadirannya di lapangan terbang bersama anaknya, Noah.

“Selain bekerja, perkara yang membuatkan saya semangat untuk pulang kembali ke Malaysia ialah saya boleh bertemu dengan Yuna.

“Kalau anda dapat lihat tadi, turut hadir ke program ini ialah ummi dan daddy kepada arwah Ashraf. Mereka juga turut dan sama-sama tonton acara ini. Sejujurnya ia sangat menyeronokkan.

“Selalunya saya ke Malaysia untuk bercuti. Kini, saya ada sebab untuk hadir setiap minggu, iaitu berjumpa Yuna dan keluarga Ashraf,” katanya.

Pertandingan Gimme The Mic Malaysia ialah program pencarian bakat nyanyian yang disiarkan selama lapan minggu pada setiap Ahad, di Astro Ria.

Program ini membariskan juri iaitu Yuna, Bunga Citra Lestari (BCL), Ajai dan Hael Husaini untuk mengadili pertandingan.

Juara TikTok LIVE X Astro Gimme The Mic Malaysia akan mem­bawa pulang wang tunai bernilai RM10,000 daripada Astro, kira-kira RM9,300 (AS$2,000) daripada Tiktok dan projek album single tajaan Astro dan Rocket­fuel.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya