Barat laungkan propaganda anti Russia - Utusan Malaysia

Barat laungkan propaganda anti Russia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SIDANG kemuncak Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) yang dianjurkan di Washington, baru-baru ini, ibarat sesi melampiaskan amarah terhadap Moscow dan Beijing. 

NATO yang dianggotai oleh 32 negara di benua Eropah dan Amerika Utara termasuk Amerika Syarikat (AS), Belanda, Belgium dan Kanada berusaha keras mencari cara menghentikan serangan Russia di Ukraine. 

Operasi khas ketenteraan Moscow di Kiev yang berlanjutan lebih dua tahun benar-benar menguji mental pemimpin Eropah sekaligus timbul persoalan sampai bila Russia akan mengheret serangan berkenaan?  

Negara-negara NATO masih kekal istiqamah melaungkan propaganda anti Russia sehingga mengaburi berita serangan di Hospital Okhmatdet di Kiev, Ukraine, baru-baru ini. 

Sedangkan, Duta Besar Russia di Malaysia, Naiyl M. Latypov berkata, Ukraine adalah dalang sebenar di sebalik serangan terhadap hospital kanak-kanak itu. 

Malah, katanya, serangan itu sudah jelas menunjukkan ia adalah peluru berpandu pertahanan udara Ukraine yang tersasar ke hospital berkenaan. 

“Histeria yang merebak mengenai hospital Okhmatdet yang rosak di Kiev (ibu negara Ukraine) adalah contoh propaganda anti-Rusia yang kejam.

“Pegawai Barat tanpa memahami fakta secara menyeluruh dengan sinis menggunakan tragedi itu terhadap negara kita (Russia),” katanya kepada Utusan Malaysia. 

Media barat termasuk AP dan Reuters tanpa usul periksa melaporkan serangan peluru berpandu yang mengenai hospital itu adalah senjata dari Russia. 

Sedangkan, beberapa portal lain termasuk BBC Verify mengulang siar semula rakaman serangan dan jenis peluru serta buatannya dalam sebuah video berita. 

Latypov berkata, sekalipun kebenaran terbongkar, Barat sebenarnya tidak berminat untuk mengetahui cerita sebenar asalkan matlamat mereka memburuk-burukkan Moscow tercapai. 

“Ketidakjujuran taktik sedemikian dapat dilihat dengan mata kasar, dan orang Ukraine sendiri sudah sedar kerana video provokasi itu muncul dengan pantas di Internet. 

“Ia sekaligus menafikan semua usaha Kiev dan propaganda Barat.

“Sistem pertahanan udara Barat yang digunakan oleh angkatan tentera Ukraine sering terlepas sasaran. Kemungkinan besar, peluru berpandu kehilangan sasaran di udara dan menangkap isyarat haba dari hospital sehingga tersalah sasaran,” jelasnya. 

PROPAGANDA BARAT

Menurut beliau, propaganda Barat bukan hanya berlaku kali pertama, bahkan, sebelum ini, ‘provokasi Bucha’ atau ‘hospital Mariupol,’ adalah serangan yang dikatakan disengajakan oleh Angkatan Tentera Rusia terhadap serangan kanak-kanak dan kemudahan perubatan.

“Kami menyaksikan banyak tragedi seperti itu, dan tentera Ukraine sentiasa berbohong kepada orang ramai yang kononnya Rusia sengaja menyerang bangunan kediaman.

“Kami ulang dan tegaskan Russia tidak sama sekali akan menyerang sasaran awam di Ukraine,” tegasnya. 

Disoal serangan oleh tentera udara Russia terhadap kemudahan industri ketenteraan dan pangkalan udara Ukraine, berikut merupakan penjelasan beliau:  

“Salah satu sasaran di Kiev ialah kilang Artyom, yang merupakan antara kilang terbesar dalam industri pertahanan Ukraine. 

“Ia adalah pengeluar utama peluru berpandu, senjata dan peluru. Sasaran ini berjaya dimusnahkan oleh Moscow serta disahkan berdasarkan data penilaian objektif dan keterangan penduduk Kiev sendiri.

“Kilang itu terletak kira-kira dua kilometer dari hospital kanak-kanak Okhmatdet. Terdapat sebab kukuh untuk kita percaya hospital itu tersekat oleh peluru berpandu pertahanan udara Ukraine yang bertujuan memintas peluru berpandu Rusia yang disasarkan ke loji itu.

“Berulang kali kami (Moscow) cakap, sesi rundingan perlu segera dilakukan dan menoktahkan permusuhan. 

“Bagaimanapun, usha itu ini mestilah iklhas dan tulen. Bukannya tergantung atau pergeseran yang bertujuan untuk memberi peluang kepada Kiev memiliki kelengkapan persenjataan semula,” jelasnya. 

Tegas Latypov, punca utama krisis Ukraine mesti ditangani. Tanpa usaha jitu ke arah mencari titik perdamaian dan persefahaman, keamanan yang diidamkan tidak akan tercapai. Jangan nanti menang sorak kampung tergadai. 

Presiden Russia, Vladimir Putin secara jelas menetapkan syarat menamatkan konflik antara kedua-dua negara, semasa pertemuan dengan kepemimpinan Kementerian Luar, 14 Jun lalu.  

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN