PUTRAJAYA: Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) melalui Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) melancarkam program Jerayawara: Katakan Tidak Kepada Buruh Paksa bertujuan membanteras kegiatan buruh paksa dan pemerdagangan manusia di negara ini.
Menterinya, Steven Sim berkata, program jelajah itu juga memberikan kesedaran dan mendidik masyarakat setempat tentang usaha kementerian dalam menangani isu tersebut.
“Selain itu, kita juga memperkasakan amalan terbaik pengurusan pekerja dalam kalangan sektor perburuhan dan swasta di samping menerapkan konsep inklusif untuk meningkatkan kesedaran umum berkaitan isu buruh paksa dan pemerdagangan orang.
“Di samping itu ia sebagai langkah jaminan terhadap pengiktirafan pihak luar yang meletakkan kita di Tier 2 hasil laporan USTIP (United States Trafficking in Persons). Ini bagi memastikan kita tidak lagi diperlekehkan di peringkat global berhubung buruh paksa dan pemerdagangan orang,” katanya selepas melancarkan program itu di sini hari ini.
Terdahulu Sim melancarkan pelepasan konvoi membabitkan 18 kenderaan yang akan menjelajah ke Hentian Rehat dan Rawat (R&R) di dua buah negeri iaitu Negeri Sembilan dan Johor.
Dalam pada itu, beliau berkata, JTKSM juga melaksanakan sebanyak 352 operasi penguatkuasaan bagi tempoh Januari sehingga Jun lalu.
Jelasnya, hasil daripada operasi terbabit, sebanyak 721 kertas siasatan dibuka yang membawa kepada 140 pendakwaan dengan nilai denda yang dikenakan berjumlah RM39,600.
“Manakala sebanyak 359 kertas siasatan dikenakan kompaun yang membawa kepada penawaran kompaun bernilai RM1,768,00.00,” ujarnya. – UTUSAN