PUTRAJAYA: Selangor merekodkan jumlah paling ramai penduduk berusia 65 tahun ke atas iaitu 482,618 orang manakala, Putrajaya pula paling sedikit dengan 1,535 orang.
Data itu dikongsi Banci Ekonomi 2023 yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), hari ini
Ia kemudian diikuti Perak dengan 223,296 orang, Johor (221,297), Sabah (191,930), Sarawak (184,752), Kedah (168,512), Kuala Lumpur (130,387), Pulau Pinang (115,071), Kelantan (114,113), Pahang (100,269), Negeri Sembilan (81,264), Terengganu (63,254), Melaka (63,250), Perlis (22,386) dan Labuan (3,996).
Pada masa sama, Selangor juga mendahului dari segi jumlah rumah orang tua paling banyak di negara ini dengan 207 buah berbanding 94 buah pada 2015.
Ia kemudian diikuti Johor dengan 139 buah rumah orang tua berbanding 89 pada 2015.
Sesuai dengan jumlah penduduk paling tinggi di negara ini, Selangor juga mempunyai klinik dan farmasi iaitu paling banyak beroperasi di negara ini masing-masing 3,010 dan 2,434 buah.
Jumlah klinik di Selangor itu mewakili 29 peratus jumlah keseluruhan klinik di seluruh negara manakala, farmasi pula mewakili 19 peratus.
Selain itu, Putrajaya pula hanya mempunyai 32 klinik dan 13 buah farmasi.
Selangor juga merekodkan jumlah tertinggi bagi kedai dobi iaitu 1,196 buah diikuti Johor dengan 499 buah.
Banci Ekonomi 2023 memaparkan statistik yang diperoleh bagi tahun rujukan 2022 bertujuan mendapatkan pemahaman yang lebih baik mengenai struktur ekonomi berikutan krisis kesihatan dan kegawatan geopolitik.
Banci itu meliputi keseluruhan aktiviti ekonomi dalam sektor Pertanian, Perlombongan & pengkuarian, pembuatan, pembinaan dan perkhidmatan. – UTUSAN