Bakal adakan konsert, Yaph tak kisah berpenampilan misteri - Utusan Malaysia

Bakal adakan konsert, Yaph tak kisah berpenampilan misteri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Penyanyi, penulis lagu dan penerbit, Yaph mengakui lebih selesa untuk tidak mendedahkan wajahnya kepada umum meskipun sedar perkara itu mungkin menimbulkan tanda tanya ramai.

Yaph yang juga kata singkatan kepada Yang Aku Panggil Hidup itu berkata, dia memilih untuk tampil sedemikian sejak awal kemunculannya pada 2019 ketika menjayakan konsert solonya yang pertama.

“Ini bukan satu strategi pemasaran, memang saya lebih selesa berpenampilan sebegini kerana saya mahu orang ramai lebih menghargai karya-karya seni saya.

“Boleh dikatakan saya juga seorang ‘introvert’, kalau orang cakap saya cuba menyorokkan wajah, memang ya. Syukur, peminat menghormati penampilan saya.

“Insya-Allah saya yakin dengan penampilan sebegini saya juga boleh menarik peminat untuk mendengar karya saya,” katanya yang ditemui di sidang media Konsert Yaph dan Teman-Teman di Hotel Ideas, di sini, petang tadi.

Menurut Yaph, tindakan itu juga dilakukan kerana dia mahu mengekalkan identiti unik di mana dia lebih suka dikenali kerana bakatnya dan bukan penampilannya.

Selain itu, Yaph berkata meskipun berpenampilan penuh misteri, dia yakin dapat menarik peminat ke konsert ketiganya bertempat di RCD Big Studio, Shah Alam, Selangor pada 26 Oktober depan.

Berpengalaman menjayakan konsert solo sebanyak dua kali, penyanyi, Yaph berkata konsert yang dianjurkan oleh Silent Set Entertainment itu akan menyaksikan lebih dari 20 artis yang pernah berkolaborasi bersama Yaph sebelum ini.

“Dua tahun kebelakangan ini saya sudah mengadakan dua konsert solo termasuk beberapa konsert jelajah di beberapa negeri dan alhamdulillah kesemuanya ‘full house’ dan kira-kira lebih 3,000 pengunjung hadir pada kesemua konsert.

“Kali ini saya ingin bawakan teman-teman seperjuangan saya dalam menghasilkan muzik yang sudah melebihi tujuh tahun ke konsert saya sebagai tanda menghargai mereka selain mewar-warkan kepada penyokong saya yang hadir pada malam itu, mereka inilah antara peneman perjalanan muzik saya,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai konsert, Yaph berkata konsertnya itu juga akan menerapkan elemen tradisional bersama hip hop sebagai satu keunikan konsertnya.

“Konsert ini menjanjikan lebih dari 27 lagu yang menggabungkan irama hiphop moden dengan sentuhan muzik tradisional Malaysia.

“Setiap lagu dipilih dengan teliti untuk memberikan pengalaman muzik yang luar biasa, menghidupkan semula warisan budaya yang kaya dengan elemen-elemen kontemporari yang segar,” katanya yang turut mengakui konsertnya juga menerima dana dari Kementerian Komunikasi Malaysia dan MyCreative Venture Sdn Bhd.

Di bawah pengarah muzik muda, Aliff Redza, konsert juga akan menampilkan 16 orang pemuzik profesional dan pemuzik tradisional.

Sementara itu, Pengarah Silent Set Entertainment selaku penganjur konsert Zulakid Aizat berkata, persembahan itu adalah kejutan dan hadiah buat peminat Yaph.

Silent Set Entertainment juga ingin menawarkan kepelbagaian dan pilihan konsert hiburan yang berlainan buat rakyat Malaysia, bukan sekadar konsep yang sama bagi setiap siri konsert.

“Bukan sahaja YAPH yang misteri, penyokong beliau juga misteri sehinggakan setiap kali konsert dan konsert jelajah yang diadakan, kami ternanti-nantikan siapa yang akan hadir. Dari peringkat usia awal 20an dan ada yang sudah menjangkau usia 55 tahun pernah hadir ke konsert solo dan konsert jelajah beliau.

“Itu belum lagi yang kami dapat kesan pendengar lagu beliau yang paling tua kami dapat tahu adalah seorang pakcik berusia 75 tahun yang bekerja sebagai pembantu kedai makan di salah satu IPT terkemuka di ibu kota,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN