Asliza Ali dilantik Setiausaha merangkap CEO EAIC

Asliza Ali dilantik Setiausaha merangkap CEO EAIC

ASLIZA ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Bekas Pegawai Undang-Undang di Jabatan Peguam Negara, Asliza Ali dilantik sebagai Setiausaha merangkap Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) berkuat kuasa hari ini.

EAIC dalam kenyataan memaklumkan, beliau menggantikan Norhayati Ahmad yang kembali bertugas ke Jabatan Peguam Negara sejak 18 Ogos tahun lalu.

Katanya, Asliza berpengalaman luas dalam bidang perundangan menerusi khidmat di Jabatan Peguam Negara sebagai Pegawai Undang-Undang (Gred Utama C) sebagai Ketua Unit di Seksyen Kes-Kes Terkelas, Bahagian Guaman, Jabatan Peguam Negara (2020 hingga 2024).

“Beliau pernah berkhidmat di Bahagian Guaman, iaitu Unit Kontrak dan Kecuaian Perubatan (2017 hingga 2020).

“Beliau turut berkhidmat sebagai Pengarah Guaman Negeri di Pejabat Penasihat Undang-Undang Negeri Johor, Penasihat Undang-Undang Kementerian Pertahanan dan Penasihat Undang-Undang Kementerian Belia dan Sukan.

“(Ini termasuk) Peguam Kanan Persekutuan di Kementerian Dalam Negeri, Timbalan Pendakwa Raya di Bahagian Undang-Undang, Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan Timbalan Pendakwa Raya di Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia,” katanya hari ini.

EAIC berharap, pelantikan ini akan memperkukuh pelaksanaan fungsi dan tadbir urus EAIC sebagai badan pengawasan integriti pegawai penguat kuasa dan agensi penguatkuasaan di bawah Akta Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan 2009 [Akta 700]. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN