MENGATA, mengutuk orang lain di belakang papan kekunci memang mudah. Tapi bila sudah keterlaluan hingga mengorbankan nyawa, kata ‘maaf’ tidak boleh menghidupkan kembali mereka yang sudah pergi.
Isu membabitkan pempengaruh TikTok, Esha, yang bertindak mengakhiri hidup kerana menjadi mangsa buli siber membangkitkan gelombang kesedaran dalam kalangan pengguna.
Bukan itu sahaja, para selebriti juga dilihat lantang bersuara bagi membendung masalah ini daripada terus berleluasa. Menjadi seorang selebriti yang dikenali membuatkan mereka sering menjadi target kecaman dan kritikan semberono pengguna media sosial.
Ketika perkara itu terjadi, pelakon dan pengacara, Janna Nick mengambil pendekatan penutup akaun Instagram. Perkara itu penting agar keadaan mental penyanyi itu dalam keadaan stabil dan jauh daripada ‘bingit’ di platform media sosial.
Sudah beberapa kali tular kerana dikritik, penyanyi dan pempengaruh, Yazmin Aziz, terkilan kerana rara-rata warganet hanya menghakimi tanpa menyelidik terlebih dahulu kesahihan sesuatu berita. Bukan itu sahaja, kadangkala kata-kata mereka terlalu tajam seolah-olah artis bukanlah manusia biasa yang mempunyai perasaan.
Kita tidak berada di tempat Nonny
Sebenarnya, sudah berminggu-minggu pelakon, Nonny Nadirah, mencuri perhatian apabila memuat naik hantaran yang dianggap aneh dan seksi. Cuma, minggu ini, Nonny dilihat lebih berani tampil dalam video berkemban mempromosikan barangan jualan di samping mendedahkan sudah lama tidak ‘disentuh’ orang.
Ramai yang menghentam Nonny mempertikaikan mengapa wanita tersebut boleh berubah sedemikian rupa sedangkan dahulu dia sangat sopan, lemah lembut dan bertudung litup.
Sebelum ini, penyanyi Runtuh itu pernah mendedahkan sedang bertarung dengan penyakit misteri yang dihidapi akibat gangguan sihir. Ramai juga yang bersimpati dan mengaitkan perubahan artis itu mungkin ada kaitan dengan tekanan hidup yang dilalui.
Pelakon, Niezam Zaidi, yang juga merupakan bekas kekasih Nonny mengakui terkejut dengan keadaan Nonny hari ini. Namun semenjak tidak jadi berkahwin, dia dan Nonny sudah tidak berhubung. Niezam menyifatkan Nonny seorang yang baik, rajin bersedekah dan bertanggungjawab menjaga keluarga.
Niezam turut meminta orang ramai akan sama-sama mendoakan Nonny dan menyifatkan wanita itu sedang ‘berperang’ dengan ujian hebat yang ditakdirkan Allah untuknya.
Sathiya makin stabil
Pelawak, Sathiya, diserang angin ahmar membuatkan tangan dan kakinya kebas serta sukar mengimbangkan badan. Selepas melakukan pemeriksaan di klinik berhampiran rumah di Sri Rampai, doktor mendapati tekanan darahnya rendah dan Sathiya kemudian dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur.
Menurut anaknya, Vickynesawwry atau Vicky, pelakon Pi Mai Pi Mai Tang Tu itu perlu mengambil masa kira-kira dua hingga enam bulan untuk pulih bergantung kepada rawatan. Setakat ini, Sathiya perlu melakukan rawatan akupuntur dan makan ubat tanpa menghadiri sesi fisioterapi.
Mewakili bapa, Vicky, berterima kasih kepada peminat dan rakan terdekat yang tidak putus-putus menghubunginya untuk bertanya khabar dan mendoakan kesembuhan bapanya.-UTUSAN