Artis dan sensitiviti promosi produk intimasi - Utusan Malaysia

Artis dan sensitiviti promosi produk intimasi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEBELAKANGAN ini Cik Bunga tengok semakin ramai pula kalangan artis dan selebriti yang tidak segan silu mempromosi produk kesihatan intimasi di platform Instagram mereka.

Adalah beberapa nama yang Cik Bunga perhatikan. Baik lelaki mahupun artis wanita, bukan main terbuka kongsikan iklan dan promosi itu di media sosial masing-masing.

Kadang-kadang ada ayat yang dikongsikan itu memang tidak sesuai dan tidak senonoh. Cik Bunga faham, situasi itu berlaku tentulah kerana mereka ini sudah mengikat kontrak tertentu dan dibayar untuk membuat rebiu atau bantu promosi mengenai suplemen berkenaan.

Nama pun selebriti. Kalau pengusaha dan pengasas produk ini tidak gunakan pengaruh mereka di media sosial, rugilah bukan?

Sekurang-kurangnya, dengan hasil buat rebiu itu dapatlah artis-artis ini raih pendapatan sampingan. Iyalah hendak harapkan duit berlakon atau menyanyi sahaja memang tidak memadai.

Macam orang cakap, hidup ini keras. Tetapi dari satu sudut, Cik Bunga hendak tegur jugalah. Kalau iya pun mahu cari pendapatan sampingan dengan membuat rebiu, usahlah keterlaluan dengan terang-terangan mempromosi ubat atau suplemen seksual.

Memanglah kebanyakannya mensasarkan audiens kategori pasangan suami isteri. Kita faham. Tetapi, pengikut anda masing-masing di media sosial tidak semuanya golongan dewasa dan sudah berkahwin.

Sebagai contoh, bila Cik Bunga ternampak pelawak Fad Bocey membuat hantaran promosi produk suplemen kesihatan seksual satu jenama baru-baru ini, apa yang bermain di minda Cik Bunga adalah bagaimana jika yang melihat dan membaca kapsyen berbaur seksual berkenaan adalah dalam kalangan peminat dan pengikut remaja sekolah atau kanak-kanak?

Sebab, realitinya memang budak-budak sekolah pun ada telefon pintar dan menggunakan media sosial. Bukan tiada kelompok ini berada dalam ribuan jumlah pengikut selebriti seperti Fad di Instagram.

Tentulah ada. Jadi, jika mereka melihat perkongsian seperti itu, apa yang cuba kita sebagai orang dewasa ini suntik atau jana kepada pemikiran mentah mereka?

Bila tinjau ruangan komen, ternyata memang ada yang sekepala dengan Cik Bunga dan menyifatkan perkara seperti itu tidak sepatutnya berlaku.

Kalau hendak ambil job rebiu pun tengok jugalah nilai sensitivitinya. Namun Cik Bunga pasti, bukannya segelintir artis ini tidak menyedari hal ini jika kita sebut pasal kesedaran.

Mereka sedar sahaja, tahu sahaja, cuma apabila memikirkan bayaran yang telah diterima, maka hendak tak hendak kena buat jugalah kerja, bukan.

Okey, kalau ia merupakan satu perkongsian yang sudah lama, tak mengapalah, kita maafkan.

Cuma apa yang diharapkan selepas ini selektif sedikitlah dalam membuat rebiu itu. Ambil kira juga teguran pengikut dan peminat yang mungkin tidak selesa dengan promosi sedemikian.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya