Armani Entertainment fail saman RM500,000 terhadap Micheal Ang - Utusan Malaysia

Armani Entertainment fail saman RM500,000 terhadap Micheal Ang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Penerbit dan pengarah, Michael Ang berdepan saman RM500,000 yang difailkan syarikat Armani Entertainment Sdn Bhd selepas didakwa gagal menunaikan perjanjian yang dimeterai tiga tahun lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif Armani Entertainment, Datuk KK Chua berkata, antara isi kandungan dalam dua kontrak berkenaan adalah jaminan pengarah memasukkan artis di bawah syarikat itu dalam dua program realiti televisyen popular.

Dalam kontrak sama, Micheal juga menjanjikan artis di bawah pengurusan Armani dijadikan pelakon utama dan pelakon pembantu dalam drama terbitan syarikatnya.

“Kami sudah membayar RM250,000 tunai, manakala RM250,000 lagi adalah kos renovasi rumahnya di Desa Park, Kuala Lumpur yang dibayar menerusi program Fix It Til You Make It.

“Bagaimanapun Michael hanya melaksanakan tiga tugas yang terkandung dalam kontrak iaitu memasukkan sebuah runut bunyi, memberi watak pelakon pembantu dan menjadi juri di enam lokasi.

“Perjanjian sudah ditandatangani pada 1 Oktober 2021 namun sehingga kini, Michael tidak memenuhi tanggunjawab yang dijanjikannya,” katanya dalam satu sidang media di pejabatnya di Kota Damansara pada Rabu.

Dalam pada itu, tambah KK Chua, pihaknya sudah menghubungi Michael selepas kontrak pertama gagal dipenuhi dan memberi peluang dengan menandatangani perjanjian kedua pada 2 September 2022.

“Disebabkan dia tidak dapat melunaskan tanggungjawab kontrak pertama, kami minta dia pulangkan semula wang namun Michael enggan berbuat demikian.

“Namun, pengarah tersebut masih gagal melaksanakan tanggungjawab yang dijanjikan seperti termaktub dalam kontrak pertama dan kedua.

“Jadi setelah mengambil kira pelbagai faktor, pihak kami telah menfailkan saman kepada Michael,” ujarnya.

Penerbit filem Paku Tanah Jawa itu juga berharap pengalaman malang yang menimpa pihak Armani Entertainment boleh dijadikan peringatan umum supaya lebih berhati-hati.

Dalam sidang media itu, peguam KK Chua, Lim Zi Hwei memaklumkan pengurusan kes pertama akan diadakan pada 5 Ogos depan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN