AR Rahman tidak sempat buat lagu Michael Jackson - Utusan Malaysia

AR Rahman tidak sempat buat lagu Michael Jackson

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Maestro muzik tersohor India, AR Rahman, terkilan tidak sempat menghasilkan lagu buat penyanyi lagenda, Michael Jackson, yang meninggal dunia pada 2009.

Bercerita lanjut mengenai perkara itu, Rahman sempat bertemu Raja Pop Dunia itu di Los Angeles selepas kemenangannya di Anugerah Oscar empat bulan sebelum Jackson meninggal dunia.

“2009 saya cuba nasib untuk berjumpa dengan Jackson. Hasrat itu saya utarakan kepada kawan saya yang juga ejen pengurusan penyanyi itu. Dia kemudian hantar emel kepada Jackson namun tiada balasan selepas tiga minggu.

“Kemudian apabila diumumkan bahawa saya tercalon untuk anugerah Oscar, barulah Jackson balas emel tersebut dan mahu berjumpa saya. Tapi saya enggan bertemunya jika tidak memenangi Oscar,” katanya.

Rahman berkata demikian dalam sesi temu mesra bersama peminat di Pusat Konvensyen Star, Menara PGRM, di sini, semalam.

Dalam pertemuan hampir dua jam itu, mereka berbual mengenai lagu yang membawakan mesej besar seperti ‘We Are the World’ yang dihasilkan untuk tujuan mengumpul dana membantu kanak-kanak di Afrika.

“Selepas memenangi Oscar, keesokan harinya saya berjumpa Jackson di kediamannya pada pukul 6:30 petang.

“Dia sendiri yang buka pintu sambil memakai sarung tangan dan cermin mata ikoniknya.

“Kami berbual banyak perkara seperti topik keamanan dunia, tentang muzik dan paling mengejutkan dia siap menari di depan saya. Ia perkara yang tidak dapat dilupakan,” jelasnya.

Bukan itu sahaja, Jackson sangat berminat dengan idea Rahman untuk menghasilkan sebuah lagu yang membawa mesej tentang perubahan iklim dunia.

“Kami ada berbincang untuk buat projek bersama iaitu lagu yang menceritakan tentang isu iklim dunia.

“Saya masih ingat kata Jackson ‘apapun yang kamu buat, saya akan turuti’.

“Tapi sayangnya projek itu tidak sempat kami selesaikan kerana dia telah pergi lebih dulu,” katanya yang memenangi trofi Skor Muzik Terbaik dan Lagu Original Terbaik untuk lagu Slumdog Millionaire di Anugerah Oscar 2009.

Dalam perkembangan lain, penyanyi itu bakal kembali mengadakan konsert AR Rahman Live in Kuala Lumpur yang bakal berlangsung pada 27 Julai nanti, jam 8 malam, di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ).

Turut sama menjayakan konsert itu nanti ialah penyanyi undangan seperti Mano, Srinivas, Sri Rascol dan Blaaze.

Sebelum ini, semasa konsert tahun lalu, Datuk Seri Siti Nurhaliza turut berduet bersamanya menerusi lagu Tamil klasik berjudul ‘Munbe Vaa’ yang dihadiri lebih 60,000 pengunjung.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya