PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menunaikan solat Jumaat bersama rakyat di Surau An-Najah, di sini hari ini.
Beliau yang tiba kira-kira pukul 12.45 tengah hari disambut Setiausaha Koperasi An-Najah, Zainal Mohd Yusof selain turut diserbu puluhan pelajar Sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint 9(2).
Solat Jumaat berkenaan diimamkan Ustaz Hazim Malim itu disertai lebih 1,000 jemaah.
Anwar bersama jemaah turut mendengar khutbah Jumaat bertajuk Perihal Mizan (Timbangan Akhirat) yang disampaikan oleh Ustaz Hazim Malim.
Isi khutbah yang disediakan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) itu mengingatkan jemaah bahawa setiap manusia akan melalui proses timbangan (mizan) di akhirat dan inilah keimanan yang dipegang oleh Ahli Sunnah wa al-Jamaah.
Jelasnya, ada manusia yang menerima buku catatan amal dengan tangan kanan, dan inilah
orang yang berbahagia dan ada pula yang menerima buku catatan amal dengan tangan kiri dari belakang, dan inilah orang-orang yang rugi binasa.
“Perbanyakkan berzikir kerana sungguhpun ia terlihat ringan pada lidah namun, haikatnya zikir itulah yang memberatkan timbangan amal kita di akhirat nanti,” katanya.
Selesai solat, Anwar turut meluangkan masa beramah mesra dan bergambar bersama jemaah yang hadir sebelum beredar meninggalkan masjid.
Terdahulu, Anwar turut berkesempatan menikmati sajian makan tengah hari di kawasan gerai makan Surau An-Najah.
Antara hidangan yang disediakan adalah yang dijual di gerai makan itu termasuk tempe goreng, pisang goreng dan ayam gunting. – UTUSAN