PUTRAJAYA: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof mengingatkan warga Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) supaya mengambil serius teguran dibuat Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) baru-baru ini.
Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata, warga PETRA juga perlu melaksanakan tindakan mitigasi dan pembetulan dengan pantas berkaitan teguran itu.
Menurutnya, laporan itu secara khusus melibatkan 16 isu pengurusan air negara termasuk
Projek Pembangunan Sumber Air – Lewat Jadual, Skim Bekalan Air Tawau, Projek Pembangunan Bekalan Air yang lewat jadual dan Projek Peningkatan Kualiti Air yang lewat jadual.
“Isu lain termasuk kadar rizab margin yang sangat rendah, air tidak berhasil (NRW), pelanggaran parameter air terawat dan pencemaran sumber air oleh lima punca tetap,” katanya.
Teks ucapan Fadillah dibacakan Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Akmal Nasrullah Mohd Nasir pada majlis perhimpunan bulanan Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) di sini, hari ini.
Katanya, PETRA juga mempunyai satu teguran audit yang dilaporkan dalam Laporan Jawatankuasa Kira-kira Awam Negara (PAC) yang dijangka dibentangkan pada tengahari ini.
Dalam perkembangan lain, Fadillah turut mengingatkan penjawat awam supaya tidak mudah terpengaruh dengan maklumat-maklumat tidak tepat berkaitan isu BlackRock.
Katanya, penjawat awam juga perlu cakna dengan isu itu seperti mana yang telah dijelaskan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini
“Sehubungan itu, saya berharap agar semua tidak keterlaluan dalam membahaskan isu tersebut sebaliknya membantu kerajaan dalam memperjelaskan isu tersebut.
“Keputusan yang dibuat oleh kerajaan tidak dibuatlah sewenang-wenangnya dan pemilihan GIP dibuat selepas melalui syarat yang ketat dan tapisan yang terperinci,” katanya.
Katanya, GIP juga mempunyai kepakaran tersendiri dalam pengendalian lapangan terbang dan diharap dapat mengembalikan kegemilangan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebagai lapangan terbang terbaik di Rantau Asia.
Jelasnya lagi, walaupun dengan kemasukan GIP, MAHB kekal milik Malaysia dengan jawatan pengurusan utama iaitu Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif akan masih diterajui oleh rakyat Malaysia.
“Pegangan saham majoriti MAHB sebanyak 70 peratus dan (Golden Share) juga masih dimiliki oleh Khazanah Nasional dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP),” katanya.
Katanya, keberadaan syarikat GIP di Malaysia tidak sama sekali akan menghalang pendirian Malaysia dalam menyuarakan isu kekejaman rejim Israel terhadap penduduk di Gaza, Palestin. – UTUSAN