Akta PSMB benar HRD Corp buat pelaburan - Peguam

Akta PSMB benar HRD Corp buat pelaburan – Peguam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Akta Pembangunan Sumber Manusia Berhad 2001 (Akta PSMB 2001) membenarkan Human Resource Development Corporation (HRD Corp) untuk membuat pelaburan mengikut prosedur dan tatakelola yang termaktub dari segi undang-undang.

Peguam, Amrit Pal Singh berkata, akta berkenaan adalah sistem perundangan yang mengawal selia dan mentadbir segala perancangan dan pelaksanaan operasi pentadbiran HRD Corp.

Menurut beliau, Seksyen 26 dalam akta tesebut memberikan kuasa untuk menubuhkan panel pelaburan oleh menteri yang terbabit dan hendaklah terdiri daripada pengerusi lembaga, dua orang anggota yang dilantik oleh lembaga dalam kalangan anggotanya.

Ini termasuk ketua eksekutif, wakil Kementerian Kewangan, wakil Bank Negara Malaysia dan dua orang lain yang mempunyai pengalaman perniagaan dan kewangan yang dilantik oleh Menteri.

“Seksyen 27 dalam akta yang sama turut memberikan kuasa untuk melabur dalam pelaburan atau sekuriti yang dibenarkan bagi pelaburan kumpulan wang amanah di bawah mana-mana undang-undang bertulis yang sedang berkuat kuasa.

“Ini termasuk dalam syer dan debentur dalam mana-mana syarikat awam yang harga bagi syer dan debentur itu disebut di bursa Malaysia atau dalam apa-apa pelaburan atau sekuriti lain sebagaimana yang diputuskan oleh panel pelaburan.

“Justeru, HRD Corp tidak melakukan apa-apa kesalahan dari segi undang-undang untuk membuat pelaburan atau dari segi moral juga kerana pelaburan yang dibuat menjana keuntungan yang besar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebelum ini, Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Datuk Mas Ermieyati Samsudin mengatakan HRD Corp telah melabur dalam pelbagai aktiviti pelaburan sedangkan ia bukanlah sebuah institusi pelaburan.

Semalam, media melaporkan, HRD Corp mencatat keuntungan bersih pelaburan tidak nyata sebanyak RM69 juta sehingga akhir Disember 2023 dengan jumlah tersebut melibatkan 98.7 peratus daripada keseluruhan portfolio pelaburan HRD Corp yang bernilai RM3.6 bilion.

Mengulas lanjut, Amrit Pal Singh menambah, pihaknya menasihati semua pihak terutama ahli-ahli Parlimen atau mana-mana jawatankuasa agar memahami sistem perundangan di negara ini sebelum membuat sebarang teguran.

Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2/2024 yang diumumkan baru-baru ini, mengesyorkan Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) merujuk kepada agensi penguatkuasaan untuk mengambil tindakan sewajarnya berhubung ketidakteraturan yang dikenal pasti terhadap pengurusan HRD Corp.

LKAN turut mendapati HRD Corp mempunyai kelemahan pengurusan dalam melaksanakan operasi dan aktiviti syarikat mengikut tatakelola dan peraturan ditetapkan hingga agensi itu belum mencapai objektif penubuhannya, termasuk petunjuk utama prestasi (KPI) 2023 dan pindaan indikator petunjuk prestasi utama (KPI) tidak diluluskan lembaga pengarah.

Laporan PAC turut mendedahkan sejumlah RM3.77 bilion hasil kutipan levi daripada majikan digunakan Program Latihan HRD Corp untuk melabur dalam pelbagai aktiviti pelaburan yang bukan matlamat dalam penubuhan agensi itu.

Katanya, matlamat penubuhan syarikat adalah bagi pengenaan dan pemungutan levi pembangunan sumber manusia bagi maksud penggalakan latihan dan pembangunan kerja, perantis dan pelatih serta penubuhan dan pentadbiran Kumpulan Wang. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya