BARU-BARU ini ada satu acara hiburan yang menyaksikan kehadiran penyanyi dan komposer, Aizat Amdan.
Cik Bunga tiada di acara tersebut sebab kebetulan pula ada program lain yang harus dihadiri. Orang sibuk macam Cik Bunga ini, begitulah.
Ada jemputan kita hadir, orang tidak jemput kita tak adalah mahu datang menyibuk ye tak?
Hendak dijadikan cerita, ada kalangan rakan-rakan sampaikan cerita pada Cik Bunga, kononnya Aizat tersinggung dengan pertanyaan pihak media mengenai baju yang digayakannya ketika membuat persembahan di konsert Yunaverse sekitar Oktober tahun lalu.
Masih ingat tak baju tersebut? Kononnya, baju atau imej yang digayakan Aizat ketika itu dikatakan persis imej penyanyi antarabangsa, Sam Smith. Macam pakai korset pun iya.
Apa yang berlaku, ketika soalan itu diajukan, Aizat berubah jadi tidak selesa seakan-akan tersinggung manakala isterinya merangkap pengurusnya, terus potong bicara dan menghalang wartawan daripada terus mendapatkan respons Aizat.
Bagi Cik Bunga, boleh saja Aizat cakap baik-baik, tak hendak jawab soalan tersebut memandangkan perkara itu sudah lama berlalu.
Berbanding terus buat muka, tidak mahu ditemu bual. Aizat bukannya sehari dua berada dalam industri seni hiburan ini.
Seharusnya sudah cukup pandai mengendalikan situasi dengan baik jika sekali pun enggan menjawab.
Entahlah. Sebenarnya bukan tentang isu baju ini sahaja yang Cik Bunga dengar Aizat jadi mudah tersinggung. Sebelum ini ketika dilayangkan pertanyaan mengenai perkara lain pun Aizat buat perkara serupa.
Kalau tidak silap Cik Bunga, pertanyaan mengenai berat badan. Enggan mengulas, boleh saja tolak dengan cara baik.
Kita pun faham dan boleh teruskan pertanyaan mengenai perkara lain. Betul tak? Asyik hendak tersinggung sahaja, macam tidak sesuai pula pada majlis yang ada soal jawab dengan media.