Ada yang kecam, komen negatif untuk likes - Nadeera Zaini - Utusan Malaysia

Ada yang kecam, komen negatif untuk likes – Nadeera Zaini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penyanyi, Nadeera Zaini, tidak menafikan terdapat segelintir pengguna media sosial yang sengaja meninggalkan komen negatif kononnya hendak menegur perbuatan seseorang.

Sedangkan menurut Nadeera, jika seseorang itu ikhlas hendak menasihati, dia seharusnya menuliskan ucapan yang baik di peti mesej agar tidak memalukan mana-mana pihak.

“Kalau mahu beri teguran biarlah dalam keadaan tidak memalukan.

“Ada sahaja golongan kononnya hendak beri nasihat, tapi rupanya mahu tinggalkan komen negatif demi mengejar likes.

“Itu bukan teguran, tapi cuma ingin mendapatkan perhatian dan tunjuk pandai yang secara tidak langsung menyebabkan buli siber,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Pernah menjadi mangsa buli siber kerana rupa paras disamakan dengan binatang, penyanyi Udara itu mengakui kata hinaan tersebut meninggalkan kesan yang mendalam terhadapnya.

“Saya pernah hilang motivasi dan tiada selera makan. Ayat kasar mereka menyamakan saya dengan binatang haram adalah sesuatu yang berat untuk diterima.

“Tapi sekiranya para artis ambil tindakan undang-undang, mereka hanya diam. Paling tidak akan minta maaf,” jelasnya.

Dalam pada itu, Nadeera menasihati orang ramai agar mempelajari adab dan etika menggunakan media sosial agar tidak dianggap keterlaluan sehingga terjadinya buli siber.

“Kebanyakan pengguna tidak ada pendidikan tentang etika dan adab di media sosial. Kita tidak tahu bagaimana seseorang itu boleh proses setiap komen atau kecaman yang kita tulis.

“Setiap manusia mempunyai fikiran yang berbeza termasuk latar belakang. Sebelum kita putuskan untuk komen, fikirlah dahulu. Jagalah adab di media sosial,” tambahnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN