94 iklan jual beras dalam talian diturunkan, disyaki beras seludup

94 iklan jual beras dalam talian diturunkan, disyaki beras seludup

SEBANYAK 94 iklan berkaitan penjualan beras secara dalam talian diturunkan oleh penyedia platform e-dagang. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Sebanyak 94 iklan berkaitan penjualan beras secara dalam talian diturunkan oleh penyedia platform e-dagang bagi tempoh 1 Oktober 2023 hingga 31 Mei lalu.

Semakan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) melalui Kawalselia Padi dan Beras (KPB) mendapati, penjual beras secara dalam talian tersebut tidak mempunyai lesen runcit yang dikeluarkan oleh pihaknya dan beras yang dijual dipercayai diperoleh daripada sumber tidak sah.

Menurut KPKM, padi dan beras adalah barang kawalan di bawah Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 [Akta 522] dan peraturan-peraturan di bawahnya.

“Sebarang urus niaga melibatkan barang kawalan di peringkat kilang, borong dan runcit termasuk jualan secara dalam talian memerlukan lesen yang dikeluarkan oleh Ketua Pengarah Kawalselia Padi dan Beras.

“Ketiadaan lesen barang kawalan beras adalah kesalahan di bawah Peraturan 3, Peraturan-Peraturan Kawalan Padi dan Beras (Pelesenan Pemborong dan Peruncit) 1996,” katanya dalam kenyataan hari ini.

KPKM berkata, beras yang dijual kepada pengguna dalam talian disyaki adalah beras yang dibawa masuk ke dalam negara tanpa mendapat kelulusan kerajaan.

Tegasnya, ia merupakan satu kesalahan di bawah Peraturan 10(1)(a) Peraturan[1]Peraturan Kawalan Padi dan Beras (Pelesenan Pemborong dan Peruncit) 1996.

“Penjual barang kawalan beras yang menggunakan platform e-dagang adalah terikat dengan perundangan yang berkuat kuasa iaitu Akta 522 dan peraturan-peraturan di bawahnya.

“Justeru, pihak KPB sentiasa memantau aktiviti penjualan beras menggunakan platform dalam talian dengan kerjasama penyedia platform e-dagang berkenaan bagi membendung aktiviti berkenaan terus berleluasa,” katanya.

KPB juga ingin mengingatkan kepada peniaga bahawa penjualan secara dalam talian barangan kawalan padi dan beras perlu mematuhi mana-mana perundangan yang sedang berkuat kuasa.

Sekiranya didapati bersalah, pihak terlibat boleh dedenda sehingga RM25,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya