PUTRAJAYA: Kajian menunjukkan hampir 70 peratus pesakit kanser lelaki dikesan lambat datang mendapatkan rawatan di hospital menyebabkan ada antara mereka didiagnos kanser tahap 3 dan 4.
Mendedahkan perkara itu, Pengarah Institut Kanser Negara (IKN), Dr Mohd Anis Haron@Harun berkata, trend itu bukan sahaja membimbangkan, malah mengurangkan peratus untuk sembuh.
Beliau berkata, tindakan itu juga boleh meningkatkan beban serta risiko lebih besar terutama dari segi kos dan kemudahan perubatan.
“Kami dapati, ada antara pesakit yang bersikap ‘denial’ (sikap penafian dapat kanser) atau mencuba rawatan alternatif terlebih dahulu sebelum datang ke hospital,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Perasmian Rumah RM1 di Presint 9, di sini bertujuan menyediakan penginapan kepada pesakit luar yang menerima rawatan di IKN atau Hospital Putrajaya.
Dalam pada itu, Dr Mohd Anis berkata, pihaknya mengakui berlaku peningkatan jumlah pesakit di IKN setiap tahun dengan kadar penggunaan katil sekitar 66.6 peratus dan pernah mencecah sehingga 90 peratus.
“Ketika ini, kanser payudara adalah kanser paling tinggi dihidapi wanita di negara ini manakala, bagi lelaki pula adalah kanser kolorektal atau kanser usus besar,” katanya.
Sementara itu, Rumusan Laporan Registri Kanser Kebangsaan Malaysia 2017-2021 yang diterbitkan hari ini menunjukkan peratus kes kanser untuk keseluruhan rakyat yang dikesan pada tahap 3 dan 4, telah meningkat kepada 65.1 peratus pada 2017-2021 daripada 63.7 peratus pada 2012-2016.
Laporan lima tahun ketiga diterbitkan Jabatan Registri Kanser Kebangsaan di IKN itu turut mengenal pasti 10 jenis kanser paling kerap dikesan dalam kalangan rakyat iaitu kanser payudara, kanser kolorektal, kanser paru-paru, limfoma, kanser hati, kanser prostat, leukemia, kanser nasopharynx (kanser pangkal hidung), kanser rahim dan kanser ovari.
Insiden kanser tertinggi dalam kalangan lelaki adalah kanser kolorektal diikuti kanser paru-paru dan kanser prostat, manakala dalam kalangan wanita, kanser payudara mempunyai insiden tertinggi diikuti kanser kolorektal dan kanser paru-paru.
Mengulas lanjut, menurut Dr Mohd Anis, terdapat pelbagai punca kanser seperti genetik, pemakanan serta gaya hidup seperti merokok dan obesiti.
“Klinik kesihatan (kerajaan) mengadakan saringan pap smear secara percuma untuk warga emas atau bayaran RM1 kepada orang awam, dalam laporan itu terdapat penurunan kes kanser servik (pangkal rahim) disebabkan kempen kami untuk buat saringan pap smear.
“Kalau ada tanda-tanda awal (kanser), buat saringan dan cepat dapat rawatan atau apabila berumur 40 tahun, kita perlu buat saringan, ia (ujian saringan) disediakan di klinik kesihatan, rebut peluang untuk buat saringan,” katanya. – UTUSAN