5 pegawai tentera, 10 juruterabang Malaysia pilih kekal di Bangladesh

5 pegawai tentera, 10 juruterabang Malaysia pilih kekal di Bangladesh

SERAMAI 123 rakyat Malaysia termasuk pelajar dari Bangladesh disambut oleh ahli keluarga ketika selamat tiba di Balai Ketibaan KLIA Terminal 2. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Seramai lima pegawai tentera dan 10 juruterbang warga Malaysia memilih untuk terus kekal di Bangladesh meskipun negara itu bergolak dengan siri rusuhan ganas.

Timbalan Menteri Luar Negeri, Datuk Mohamad Alamin berkata, mereka sudah memaklumkan kepada pihak Suruhanjaya Tinggi Malaysia di ibu kota Dhaka dan mengambil keputusan untuk tidak pulang bersama-sama dalam misi evakuasi.

Beliau berkata, kumpulan juruterbang itu bertugas dengan syarikat penerbangan tempatan, US-Bangla Airlines dan juga menetap bersama keluarga.

“Mereka terikat dengan kontrak kerja dan masih bertugas mengikut jadual seperti biasa tetapi sentiasa berhubung dengan pihak Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Dhaka,” katanya dalam sidang akhbar khas di Terminal 2 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di sini.

Terdahulu, beliau mengiringi Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menyambut kepulangan sekumpulan 123 warga Malaysia yang terkandas di Bangladesh yang menaiki pesawat sewa khas AirAsia penerbangan AK76 dari Dhaka telah selamat mendarat pada pukul 4.56 petang.

Misi evakuasi itu diumumkan Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan semalam selepas diluluskan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ekoran situasi teruk di Bangladesh.

Beliau walau bagaimanapun enggan pula mendedahkan mengenai latar belakang para pegawai tentera Malaysia di negara tersebut namun mengakui keadaan mereka selamat.

Canseri Malaysia di ibu negara Asia Selatan itu ujarnya, masih beroperasi baik meskipun terpaksa berhubung dengan cara penggunaan lama menerusi sistem pesanan ringkas.

Ia susulan tindakan pihak kerajaan Bangladesh yang telah memutuskan segala rangkaian telekomunikasi termasuk internet bagi mengawal ketentaraman awam negara berkenaan.

Langkah tersebut namun kata Mohamad, menyukarkan pihak misi diplomatik Malaysia di Dhaka untuk menghubungi warga Malaysia terutama pelajar untuk penyaluran bantuan.

“Wisma Putra memberikan jaminan bahawa kami sentiasa memantau rapi setiap detik situasi di Bangladesh dan memelihara kebajikan rakyat kita yang terkesan,” tegasnya.

Pada masa sama, beliau menasihatkan warga Malaysia agar menjauhi kawasan berisiko dengan konflik dalaman rusuhan ganas dan kekal mematuhi arahan pihak berkuasa. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN