PUTRAJAYA: Sejumlah 39,019 nama warganegara yang berumur 18 tahun dan ke atas didattarkan secara automatik sebagai pemilih baharu dalam tempoh sepanjang Mei lalu.
Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Ikmalrudin Ishak berkata, senarai nama itu dimasukkan dalam Daftar Pemilih Tambahan Bulan Mei Tahun 2024 (DPT BLN5/2024) yang telah diperaku pada 12 Julai lalu seterusnya diwartakan hari ini.
Katanya, DPT BLN5/2024 ini dibuka untuk semakan selama 30 hari mulai hari ini hingga 13 Ogos depan.
“DPT BLN5/2024 juga mengandungi sejumlah 6,547 orang pemilih berdaftar yang bertukar bahagian pilihan raya.
“(Selain itu terdapat) 1,710 orang pemilih bertukar status atau kategori pengundi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ikmalrudin berkata, SPR menyeru kepada warganegara yang berumur 18 tahun dan ke atas dalam tempoh tersebut dan mana[1]mana pemilih berdaftar yang memohon pertukaran bahagian pilihan raya atau pertukaran status untuk menyemak nama mereka dalam DPT BLN5/2024.
Kata beliau, sekiranya mereka mendapati namanya tidak disenaraikan, mereka boleh membuat tuntutan dengan mengisi Borang C melalui aplikasi dalam talian di pautan https://myspr.spr.gov.my atau hadir ke Pejabat Pilihan Raya Negeri yang berkenaan.
“Di samping itu, mana-mana pemilih berdaftar di sesuatu bahagian pilihan raya yang membuat semakan dan berhasrat membuat bantahan ke atas kemasukan nama pemilih yang membuat pertukaran ke bahagian pilihan rayanya, adalah dengan mengisi Borang D,” katanya. – UTUSAN