KUALA NERUS: Kementerian Dalam Negeri (KDN) merampas 22,414 naskhah dan bahan al-Quran tanpa kelulusan yang bernilai lebih RM3.2 juta di seluruh negara bermula Januari hingga Jun lalu.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, rampasan yang dilaksanalan Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan itu membabitkan naskhah dan bahan al-Quran yang dibawa masuk dari negara luar.
Menurutnya, kesemua naskhah dan bahan al-Quran yang dirampas itu tidak mendapat kelulusan daripada Lembaga Pengawalan dan Pelesenan Percetakan al-Quran KDN.
“Tanggungjawab kami adalah memastikan ketulenan (naskhah dan bahan al-Quran) dan ia sangat penting supaya kemuliaan dalam bentuk teks ini dapat terus dipelihara,” katanya.
Beliau berkata demikian demikian ketika ditemui selepas Majlis Perjumpaan Bersama Lembaga Pengawalan dan Pelesenan Pencetakan Al-Quran (LPPPQ) KDN, di sini, malam tadi.
Saifuddin memberitahu, naskhah dan bahan al-Quran yang dibawa masuk dari luar negara negara untuk tujuan diedarkan perlu tertakluk kepada Akta Percetakan Teks Al-Quran 1986 (Akta 326).
“KDN tidak akan menunggu masalah kesilapan dalam naskhah dan bahan al-Quran menjadi serius sebaliknya mengambil tindakan proaktif dalam usaha membendung masalah itu,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau menambah, bahagian pengawalan dan pelesenan ini juga menguruskan dari segi penghasilan al-Quran versi digital.
“Penubuhan LPPPQ itu merupakan usaha KDN untuk memudahkan kawalan terhadap pencetakan, pengimportan, penjualan, penerbitan dan pengedaran al-Quran serta bahan-bahan al-Quran dalam negara daripada sebarang penyelewengan,” katanya. – UTUSAN