142,510 orang muflis berjaya ‘dilepaskan’, lepasi sasaran – PM

142,510 orang muflis berjaya ‘dilepaskan’, lepasi sasaran – PM

ANWAR Ibrahim ketika merasmikan ketika berucap merasmikan sambutan 100 tahun Jabatan Insolvensi Malaysia di Putrajaya. - UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Sejumlah 142,510 orang yang disahkan muflis telah berjaya ‘dilepaskan’ daripada status kebangkrapan setakat ini sekali gus memberikan mereka peluang meneruskan kehidupan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah di bawah Dasar Peluang Kedua kerajaan berjaya melepasi sasaran pelepasan 130,000 orang diisytiharkan bangkrap dalam satu tahun.

Katanya, belum ada mana-mana kerajaan sebelum ini mampu menyelamatkan sejumlah besar keluarga daripada status muflis, tetapi Kerajaan Madani berjaya melakukannga selepas diumumkan pada Belanjawan 2024.

“Kadang-kadang muflis ini mungkin kesalahan kecuaian dia atau keadaan ekonomi, terkesan kerana tempoh Covid-19 atau sebelumnya disebabkan kelembapan ekonomi yang menjejaskan kedudukan mereka atau kesilapan peniaga.

“Tetapi tanggungjawab kita untuk meransang ekonomi dan memberi peluang kedua sebagai langkah awal menjadi Malaysia mampu berdaya saing dan maju dengan ada beberapa langkah proaktif pimpinan kerajaan.

“Sementara mereka boleh bernafas ini, kita ada suntikan Sumbangan Tunai Rahmah kepada sembilan juta rakyat berjumlah RM10 bilion setahun yang boleh memberikan nafas sementara mereka jalankan perniagaan dan kegiatan baharu,” katanya ketika berucap merasmikan sambutan 100 tahun Jabatan Insolvensi Malaysia di sini hari ini.

Anwar berkata, keupayaan kerajaan meminda undang-undang memberi ruang kepada jabatan ini untuk meneliti semula dasar dan disusuli tindakan lebih cekap dalam kalangan penjawat awam sekali gus membolehkan lebih 140,000 keluarga meneruskan kehidupan lebih bermakna.

Beliau berkata, program susulan perlu dilaksanakan supaya mereka tidak mengulangi kesilapan lalu dan memahami peluang disediakan kerajaan melalui pelbagai agensi bantuan pinjaman kerajaan.

“Kita adakan peluang kedua ini. Jabatan berkaitan harus memberikan dan mengenal pasti rangkaian jabatan yang ada peluang dari semasa ke semasa seperti Tekun Nasional, Amanah Ikhtiar, Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) dan pelbagai jabatan lain yang ada kemudahan (pinjaman).

“Akta Insolvensi  itu diluluskan hanya prakarasa perundangan yang memberikan kesempatan saudara untuk meneruskan tugas ini dan pengurusan pelaksanaan itu harus ditingkatkan,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN