PUTRAJAYA: Seramai 123 orang rakyat Malaysia di Bangladesh selamat menaiki penerbangan khas AirAsia AK76 dalam proses evakuasi susulan situasi rusuhan ganas di negara berkenaan.
Menurut Kementerian Luar, mereka berlepas pada pukul 11.23 pagi waktu tempatan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Hazrat Shahjalal, Dhaka, dan dijangka tiba di Terminal 2, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kira-kira pukul 5.10 petang waktu Malaysia.
Bagaimapun, Wisma Putra turut mengesahkan beberapa rakyat Malaysia telah memutuskan untuk kekal di Bangladesh.
“Antara mereka adalah pelajar tahun akhir dan rakyat Malaysia yang bekerja di Bangladesh. Mereka yang memilih untuk kekal adalah disarankan terus berkomunikasi dengan Suruhanjaya Tinggi bagi menerima maklumat terkini dan sokongan jika perlu.
“Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Dhaka sentiasa bersedia untuk menghulurkan bantuan serta memastikan keselamatan mereka terjamin,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Wisma Putra berkata, Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Dhaka akan terus beroperasi seperti biasa dan memantau situasi dengan rapat, sedia bertindak dengan pantas terhadap sebarang perkembangan.
Ini termasuk memastikan semua rakyat Malaysia di Bangladesh mendapat maklumat dan sokongan yang diperlukan.
Semalam, Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan memaklumkan, kerajaan akan membawa pulang semua warga Malaysia yang terkandas di Bangladesh, hari ini.
Ketegangan di Bangladesh tercetus ekoran bantahan ribuan pelajar terhadap keputusan Mahkamah Agung yang menetapkan kuota pekerjaan sektor kerajaan pada 5 Jun lalu.
Demonstrasi besar-besaran mula tercetus di seluruh negara itu sejak 1 Julai lalu yang menyaksikan lebih 150 penunjuk perasaan maut manakala ribuan lagi mangsa cedera. – UTUSAN