VEP: Kerajaan tidak akan buat pusingan U

VEP: Kerajaan tidak akan buat pusingan U

ANTHONY LOKE
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan tidak akan sekali-kali membuat pusingan U berhubung penguatkuasaan Permit Masuk Kenderaan (VEP) membabitkan kenderaan asing dari Singapura bermula 1 Oktober ini.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, susulan pelaksanaan peraturan itu, kesemua kenderaan asing yang masuk harus mematuhi undang-undang jalan raya di negara ini.

“Jadi mesejnya sangat jelas, saya harap pemandu Singapura yang kerap masuk ke Malaysia, mereka perlu mengikut undang-undang dan peraturan kita, sama seperti kereta Malaysia yang masuk ke Singapura, kita patuhi undang-undang mereka.

“Mereka perlu akur kalau mereka masuk, kalau laju, kena bayar saman. Jadi sebaik sahaja pelaksanaan VEP, mana-mana kenderaan asing, jika mereka langgar undang-undang kita, maka mereka perlu membayar denda sebelum meninggalkan negara ini. Jadi itulah mesejnya dan tidak akan ada pusingan U pada 1 Oktober ini, ia akan dikuatkuasakan,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai rungutan segelintir pemilik kenderaan dari Singapura yang mendakwa sukar untuk mendaftar VEP terutama dalam kalangan pemilik kenderaan terpakai, beliau berkata, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sedang berusaha menyelesaikan masalah-masalah tersebut.

“Sebaik kita meneliti kesulitan dihadapi itu, kita akan buat pengumuman nanti dan Bahagian Darat (kementerian) serta JPJ sedang menangani isu ini. Saya sendiri akan pergi ke Johor untuk membuat pemeriksaan nanti.

“Akan ada pengumuman yang dibuat nanti terutama dari segi penambahbaikan. Kita akan berusaha menangani dan memudahcarakan tetapi jangan harap kita buat pusingan U,” katanya.

Pada 28 Mei lalu, media melaporkan bermula 1 Oktober depan, semua kenderaan asing dari Singapura diwajibkan mempunyai VEP yang akan dikuatkuasakan untuk pintu masuk di kedua-dua kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) di Johor iaitu di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di Tambak Johor dan di Bangunan Sultan Abu Bakar di Link Kedua Malaysia-Singapura.

Katanya, penguatkuasaan VEP itu bertujuan memastikan semua pengguna jalan raya mematuhi sepenuhnya peraturan jalan raya di Malaysia. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN