TEMERLOH: Kemunculan semula Utusan Pelajar sebagai medium eksklusif yang memaparkan program dan aktiviti Pendidikan di sekolah disokong oleh warga pendidik di seluruh negara.
Bekas guru dan pensyarah Datuk Dr. Aripin Said berkata, apabila Utusan Pelajar kembali sekolah, ia menjadi indikator kepada pembentukan pembaca muda pada masa depan dan penerus legasi yang sejarahnya banyak didokong masyarakat guru.
Menurutnya, Utusan Pelajar ini diharap dapat membina sahsiah pelajar melalui kandungan berita, rencana dan karya pelajar.
“Ini secara langsung menanam nilai yang baik, patriotik, hormat menghormati, setia, patuh, sabar dan bekerjasama beserta cinta negara bangsa.
“Pelajar perlu dibentuk nilai yang baik melalui Sisipan Utusan Malaysia ini. Semangat patriotik yang sudah luntur. Tidak hormat guru dan tidak fokus belajar,” katanya bagi mengulas kemunculan sulung Utusan Pelajar.
Beliau pernah menyumbang cerita dan rencana untuk Utusan Pelajar hampir 15 tahun sekitar tahun 1970an ketika Utusan Pelajar menjadi pilihan murid dan guru pada masa itu.
Menurutnya, antara laporan saya yang tersiar dalam Utusan Pelajar mengenai keberanian seorang pelajar Rafie Muhamad menyelamatkan seorang kawan dari lemas. Pelajar ini kemudiannya di nobatkan penerima Pingat Hang Tuah tahun 1973.
“Selain itu melalui Utusan Pelajar saya melaporkan kegiatan pelajar luar negara di Jakarta, pameran lukisan pelajar ASEAN yang menjadi tumpuan Masyarakat antarabangsa,” katanya.
Tegasnya, Utusan Pelajar secara langsung dapat memupuk semangat membaca apabila aktiviti sekolah berkaitan Pendidikan di muatkan dalam Utusan Malaysia.
“Selama 25 tahun menjadi guru di sekolah rendah dan menengah di Pahang dan Terengganu sangat menggalakkan murid membaca Utusan Pelajar,” katanya.
Ini sangat penting dapat membentuk pelajar jadi warganegara berguna, berpandangan jauh dan intelektual,” katanya.
Aripin berkata, selaku orang lama dalam Utusan Malaysia, beliau yakin kemunculan semula Utusan Pelajar membantu mengembalikan Utusan Malaysia menjadi pilihan utama pelajar.
Seorang guru sebuah sekolah menengah Mohd. Faizal Mohd Yusop, 38, turut mengalu-alukan kemunculan Utusan Pelajar sebagai pilihan pelajar mendapat berita dan rencana Pendidikan.
“Diharap Utusan Pelajar menjadi pesaing utama kepada kebejatan penggunaan telefon pintar oleh pelajar yang melalaikan mereka menelaah Pelajaran,” katanya.
Bagi Cikgu Zul Afiq Kamaruddin, 32, berkata, kemunculan Utusan Pelajar tepat pada masanya kerana bahan bacaan Pendidikan sangat kurang di pasaran.
“Penggunaan Bahasa Melayu yang tepat dalam berita dan rencana dalam Utusan Pelajar membolehkan calon Sijil Pelajaran Malaysia ( SPM) membuat rujukan ,” katanya.
Sementara itu seorang lagi guru Zahid Aziz, 52, berkata, Utusan Pelajar merupakan akhbar pilihannya setiap minggu semasa di sekolah rendah.
Beliau berkata, dengan adanya Utusan Pelajar ke pesada akhbar arus perdana mengembalikan nostalgianya yang gemar membaca cerpen, sajak dan aktiviti sekolah yang disiarkan. – UTUSAN